Isnin, 29 April 2019 | 8:43am
Nicholas Hoult bakal memegang watak utama dalam filem bertajuk ‘Tolkien’.
Nicholas Hoult bakal memegang watak utama dalam filem bertajuk ‘Tolkien’.

Kisah hidup J.R.R. Tolkien bakal difilemkan

LONDON : Dunia fantasi J.R.R. Tolkien mengenai hobbit, elf dan ork berjaya memenangi hati jutaan peminat seluruh dunia selama beberapa dekad sejak kisah ‘The Hobbit’ dan ‘The Lord of the Rings’ diterbitkan.

Kini novelis British itu sendiri menjadi subjek filem yang menyorot kisah awal kehidupannya dan sumber inspirasi beliau.

Aktor ‘X-Men’ dan ‘The Favourite’, Nicholas Hoult bakal memegang watak utama dalam filem bertajuk ‘Tolkien’ itu yang mengimbas kembali perjalanan hidup pengarang berkenaan sebagai anak yatim, persahabatan di sekolah ketika di Birmingham, pengajian di Universiti Oxford dan barisan hadapan Battle of the Somme ketika Perang Dunia Pertama.

“Kami mahu menghormati beliau dan menceritakan semula kisah yang kami fikirkan menarik mengenai zaman muda Tolkien kepada semua. Sebagai peminat, saya yakin yang lain juga teruja,” kata Hoult.

Aktres ‘Mirror Mirror’, Lily Collins akan memainkan watak Edith Bratt yang ditemui Tolkien ketika berpindah ke rumah penginapan dan seterusnya menjadi isteri serta sumber inspirasi dalam menghasilkan kisah dunia fiksyen Middle-earth.

“Kami paparkan beliau menari di dalam hutan, kenakalan dan cintanya terhadap penceritaan dan bagaimana beliau memberi inspirasi kepada Tolkien untuk terus berkarya,” kata Collins.

Tolkien, seorang profesor berketurunan Anglo-Saxon di Oxford, menerbitkan ‘The Hobbit’ pada tahun 1937 manakala ‘The Lord of the Rings’ dihasilkan dalam tiga bahagian antara tahun 1954 dan 1955.

Lebih daripada 150 juta naskhah ‘The Lord of the Rings’ dijual di seluruh dunia dan filem yang diadaptasi dari karya itu serta trilogi ‘The Hobbit’ mencatatkan kutipan kasar AS$5.8 bilion (RM23.9 bilion) di peringkat global. - Reuters

Berita Harian X