Isnin, 21 Januari 2019 | 11:06pm

EU sekat ketua perisikan tentera Russia

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) hari ini mengenakan sekatan senjata berkaitan kimia ke atas sembilan pegawai Russia dan Syria termasuk ketua agensi perisikan tentera (GRU) Moscow.

EU mendakwa ketua, timbalan dan dua ejen GRU Russia memiliki, membawa dan menggunakan sejenis agen saraf dalam serangan di Salisbury, England Mac tahun lalu.

Sekatan itu dikenakan ke atas dua ejen Russia yang menggunakan nama samaran Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov. Mereka dikatakan pergi ke Salisbury untuk melakukan pembunuhan, tetapi gagal.

Selain membekukan aset dan mengenakan larangan perjalanan ke atas pegawai Russia terbabit, Eropah turut mengumumkan sekatan ke atas agensi senjata kimia Syria dan lima warga Syria, kata negara-negara EU dalam satu kenyataan.

Mac lalu, ejen Russia didakwa cuba meracun seorang bekas pengintip Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya di Salisbury menggunakan agen saraf Novichok yang dibangunkan Soviet.

Skripal dan anaknya terselamat dalam serangan itu tetapi seorang wanita maut Jun lalu selepas pasangannya menemui botol minyak wangi yang dibuang, dipercayai digunakan untuk membawa Novichok.

Moscow menafikan sebarang pembabitan dalam cubaan itu. - AFP

Berita Harian X