Rabu, 31 Oktober 2018 | 11:33pm
SAUD al-Mojeb - Foto AFP
SAUD al-Mojeb - Foto AFP

Khashoggi dilemaskan dalam konsulat - Pendakwa raya Turki

ISTANBUL: Pejabat Ketua Pendakwa Raya Turki berkata hari ini, wartawan Jamal Khashoggi dilemaskan sebaik sahaja beliau memasuki konsulat Arab Saudi dalam satu pembunuhan terancang empat minggu lalu manakala mayatnya kemudian dikerat dan dibuang.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas dua hari berunding dengan pendakwa raya awam Arab Saudi, Saud al-Mojeb, ia juga berkata, tiada keputusan konkrit dicapai dalam pertemuan terbabit.

Kematian Khashoggi bertukar krisis buat Arab Saudi, pengeksport minyak terkemuka dunia, yang pada mulanya menafikan mengetahui atau memainkan peranan terhadap kehilangan wartawan itu 2 Oktober lalu.

Mojeb kemudian berkata, pembunuhan Khashoggi dirancang terlebih dulu dan Riyadh berkata, 18 suspek sudah ditahan namun Turki yang mengeluarkan sejumlah bukti menjejaskan penafian awal Arab Saudi, menuntut lebih banyak maklumat termasuk di mana mayat wartawan itu dan siapa mengarahkan pembunuhannya.

“Walaupun usaha baik kami mahu mendedahkan kebenaran, tiada keputusan konkrit dicapai hasil pertemuan itu,” kata pejabat pendakwa raya di sini mengenai rundingan pada Isnin dan Selasa antara Mojeb dan ketua pendakwa raya Turki, Irfan Fidan.

Pembunuhan Khashoggi, pengkritik pemerintah de facto Putera Mahkota Mohammed bin Salman, memusatkan hubungan rapat Barat dengan Arab Saudi, pembeli utama senjata dan sekutu penting pelan serantau Washington membendung Iran.

Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang menuntut lebih banyak maklumat dari Arab Saudi berkata semalam, Fidan meminta Mojeb mendedahkan siapa yang menghantar pasukan 15 individu dari Riyadh yang disyaki terbabit dalam pembunuhan itu. -Reuters

Berita Harian X