Selasa, 30 Oktober 2018 | 6:40pm
KEADAAN pokok yang tumbang selepas dibadai ribut di Terracina, Itali. - Foto EPA
KEADAAN pokok yang tumbang selepas dibadai ribut di Terracina, Itali. - Foto EPA

Cuaca buruk Itali ragut 9 nyawa, pelancong terkandas

ROME: Angka maut akibat ribut ganas yang membadai Itali meningkat kepada sembilan orang, kata pihak berkuasa perlindungan awam hari ini, ketika cuaca buruk menyebabkan sekolah ditutup dan berpuluh pelancong terkandas di utara negara itu.

Dengan ribut ganas membadai negara itu, kelajuan angin mencecah sehingga 180 kilometer sejam di sesetengah kawasan, menumbangkan pokok dan menyebabkan banjir. Lima orang disahkan maut semalam susulan cuaca buruk.

Sebagai tambahan, pihak berkuasa hari ini melaporkan, seorang wanita maut apabila rumahnya ditimpa banjir lumpur dan batu di rantau utara Trentino; seorang lelaki terbunuh di rantau timur laut Veneto apabila ditimpa pokok tumbang sementara seorang anggota bomba maut ketika operasi bantuan di Selatan Tyrol.

Di tempat lain, seorang lelaki maut ketika luncur lelayang tengah hari semalam berhampiran bandar Cattolica di pantai Adriatik, sementara media tempatan berkata, angin kencang menerbangkan peralatannya ke batuan.

Seorang lelaki juga dilaporkan hilang di luar pantai Calabria di barat daya selepas botnya yang kosong dihempas batu di sepanjang pantai.

Media Itali juga melaporkan, kira-kira 170 orang termasuk pelancong dan kakitangan hotel terkandas akibat salji tebal di Stelvio Pass di sempadan Switzerland.

Di utara, bandar dikelilingi terusan di Venice, pelancong yang basah kuyup dilarang memasuki dataran St Mark semalam ketika pihak berkuasa berkata, ‘acqua alta’ (paras air tinggi) mencecah 156 sentimeter.

Paras air itu hanya mencapai 150 sentimeter, lima kali sebelum ini dalam catatan sejarah. Lapangan terbang Genoa dijangka ditutup sehingga jam 2 petang waktu tempatan ketika pihak berkuasa membersihkan landasan yang kotor akibat hujan lebat, angin kencang dan ombak.

Sekolah di bandar itu juga ditutup dengan ibu kota ini dan beberapa rantau lain menunda kelas akibat cuaca buruk. -AFP

Berita Harian X