Selasa, 18 September 2018 | 11:15pm
JERMAN semalam melancarkan kereta api pertama dunia berkuasa hidrogen. - Foto EPA
JERMAN semalam melancarkan kereta api pertama dunia berkuasa hidrogen. - Foto EPA

Jerman lancar kereta api pertama dunia berkuasa hidrogen

BREMERVORDE: Jerman semalam melancarkan kereta api pertama dunia berkuasa hidrogen, memberi cabaran kepada tren menggunakan diesel mencemarkan alam sekitar dengan teknologi mahal namun lebih mesra alam.

Dua kereta api biru terang Coradia iLint, dibina pembuat tren TGV Perancis, Alstom, memulakan laluan sepanjang 100 kilometer antara pekan dan bandar di Cuxhaven, Bremerhaven, Bremervoerde dan Buxtehude di utara Jerman, laluan biasanya digunakan tren berkuasa diesel.

“Kereta api hidrogen pertama dunia memasuki perkhidmatan komersial dan bersedia untuk pengeluaran selanjutnya,” kata Ketua Eksekutif Alstom, Henri Poupart-Lafarge dalam satu upacara di sini, stesen di mana kereta api itu diisi dengan hidrogen.

Alstom berkata, ia bercadang menghantar tambahan 14 gerabak pelepasan sifar ke negeri Lower Saxony menjelang 2021, dengan negeri lain Jerman melahirkan minat sama.

Kereta api hidrogen dilengkapi sel bahan api yang menghasilkan tenaga elektrik menerusi gabungan hidrogen dan oksigen, proses yang melepaskan wap dan air sebagai pelepasan tunggal.

Tenaga berlebihan disimpan dalam bateri litium ion di dalam kereta api.

Kereta api Coradia iLint itu boleh bergerak sejauh 1,000 kilometer menggunakan tangki hidrogen tunggal, sama dengan jenis kereta api diesel.

Alstom kini bertaruh terhadap teknologi lebih hijau, alternatif lebih senyap berbanding diesel di landasan bukan elektrik, prospek menarik kepada banyak bandar Jerman yang berusaha menangani masalah pencemaran udara.

“Pastinya membeli kereta api hidrogen lebih mahal berbanding diesel, namun ia lebih murah dikendalikan,” kata Pengurus Projek Alstom, Stefan Schrank kepada AFP.

Negara lain yang turut meninjau kereta api hidrogen kata Alstom ialah Britain, Netherlands, Denmark, Norway, Itali dan Kanada. Di Perancis, kerajaan berkata ia mahu kereta api hidrogen pertama di atas landasan menjelang 2022. -AFP

Berita Harian X