Isnin, 17 September 2018 | 9:45am
GAMBAR fail, polis mengawal di Salisbury, Britain. Menurut laporan, polis telah menutup sebuah restuarant Prezzo di Salisbury dan persekitaran berikutan kejadian dua orang sakit selepas didakwa terdedah kepada agen saraf Novichok. - Foto EPA
GAMBAR fail, polis mengawal di Salisbury, Britain. Menurut laporan, polis telah menutup sebuah restuarant Prezzo di Salisbury dan persekitaran berikutan kejadian dua orang sakit selepas didakwa terdedah kepada agen saraf Novichok. - Foto EPA

Dua jatuh sakit selepas kunjungi restoran

LONDON: Dua pelanggan jatuh sakit semalam selepas menikmati makanan di restoran di Salisbury, bandar raya di Britain yang menyaksikan bekas ejen Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, diracun Mac lalu, kata polis.

Seorang daripada mereka ialah rakyat Russia, lapor Sky News, memetik kenyataan sumber.

Polis dihubungi ke restoran Prezzo pada waktu petang susulan ‘kes perubatan’ membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita, kata Polis Wiltshire dalam kenyataan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, restoran dan jalan sekitarnya dikepung ketika pegawai berada di lokasi dan mencari punca apa menyebabkan mereka jatuh sakit,” kata kenyataan.

Britain berkata, pegawai Russia menggunakan ejen saraf Novichok untuk menyerang kedua-dua beranak itu.

Kremlin menafikan sebarang pembabitan.

Polis berkata, toksin saraf itu ditinggalkan di depan pintu kediaman Skripal.

Mereka ditemui pengsan di pusat bandar raya Salisbury selepas mengunjungi pub Bishop’s Mill dan sebuah restoran Itali, Zizzi.

Bekas pengintip Russia itu dan anak perempuannya selamat daripada cubaan membunuh tetapi seorang wanita lain yang tiada kaitan, Dawn Sturgess, meninggal dunia Julai lalu dan pasangannya, Charlie Rowley, jatuh sakit selepas menemui botol haruman mengandungi ejen saraf sama. — Reuters

Berita Harian X