Selasa, 17 Julai 2018 | 7:28am
DAWN Sturgess (kiri) dan Charles Rowley. - Foto AFP
DAWN Sturgess (kiri) dan Charles Rowley. - Foto AFP

Novichok ditemui dalam botol 'minyak wangi'

LONDON: Seorang lelaki Britain yang terdedah kepada Novichok, empat bulan selepas agen saraf sama digunakan terhadap bekas perisik Russia di kawasan berhampiran, menemuinya dalam sebuah botol minyak wangi, kata saudara lelakinya.

Matthew Rowley memberitahu BBC News, saudara lelakinya, Charlie, 45, yang sudah sedar namun sakit teruk di hospital memaklumkan, dia menemui botol minyak wangi dan mengambilnya.

Ketika dihubungi AFP, polis bagaimanapun enggan mengesahkan dakwaan itu.

Polis sebelum ini berkata, mereka menemui agen saraf era Soviet itu dalam sebuah 'botol kecil' di rumah Charlie Rowley di Amesbury, berhampiran Salisbury di barat daya England.

Rowley jatuh sakit 30 Jun lalu, beberapa jam selepas pasangannya Dawh Sturgess, 44, rebah selepas terdedah kepada agen saraf sama. Sturgess meninggal dunia 8 Julai lalu.

Polis berkata, kedua-duanya terdedah kepada 'dos tinggi' sebatian itu dan mengendalikan objek yang tercemar.

Ahli Parlimen tempatan, John Glen memaklumkan radio BBC, pasangan itu mungkin menemui objek terbabit kerana 'tabiat mereka menggeledah tong sampah.'

Sturgess tinggal dalam sebuah hostel untuk gelandangan di bandar itu.

Bekas ejen muka dua Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia rebah di Salisbury 4 Mac lalu selepas terdedah kepada Novichok. Kedua-duanya semakin pulih selepas itu.

Britain menyalahkan Russia atas serangan terhadap Skripal, bekas kolonel perisik tentera yang dipenjarakan kerana membelot. Beliau meninggalkan Russia untuk ke England pada 2010 dalam pertukaran perisik.

Polis tidak dapat mengesahkan jika Novichok sama digunakan dalam kedua-dua kes itu, namun ia adalah isu utama siasatan.

Dalam pada itu, Presiden Russia Vladimir Putin mengecam dakwaan penggunaan Novichok oleh British sebagai 'tuduhan tidak berasas.' -AFP

Berita Harian X