Rabu, 11 Julai 2018 | 3:51pm
Gabungan gambar dari laman facebook Dawn Sturgess (kiri) dan Charles Rowley pada 9 Julai 2018 bergambar di lokasi yang tidak diketahui. - Foto AFP
Gabungan gambar dari laman facebook Dawn Sturgess (kiri) dan Charles Rowley pada 9 Julai 2018 bergambar di lokasi yang tidak diketahui. - Foto AFP

Lelaki British diracun Novichok sudah sedar: hospital

LONDON: Seorang lelaki British yang diracun agen saraf Novichok 10 hari lalu sudah sedar dan kini dalam keadaan kritikal namun stabil, kata Hospital Daerah Salisbury semalam.

Charlie Rowley, 45, diracun bersama Dawn Sturgess, yang meninggal dunia Ahad lalu oleh agen saraf sama digunakan ke atas bekas perisik Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya pada Mac lalu.

"Kami melihat perkembangan kecil namun ketara terhadap keadaan Charlie Rowley. Beliau dalam keadaan kritikal namun stabil dan kini sudah sedar," kata Pengarah Kejururawatan di hospital berkenaan, Lorna Wilkinson.

Polis berkata, Sturgess, pasangan Rowley, menguruskan barangan dicemari Novichok di barat daya England, beberapa kilometer dari Salisbury di mana Skripal dan anak perempuannya, Yulia diracun.

Novichok dibangunkan tentera Soviet ketika Perang Dingin. Britain dan sekutunya menyalahkan Russia terhadap serangan ke atas Skripal, mencetuskan pengusiran besar-besaran diplomat Russia di Barat. Moscow menolak tuduhan itu dan membalas dengan mengusir diplomat Barat.

Siasatan itu berubah kepada pembunuhan selepas kematian Sturgess, 44, ibu anak tiga yang menetap di Amesbury, bandar berhampiran Salisbury. -Reuters

Berita Harian X