Isnin, 9 Julai 2018 | 7:00am
ANGGOTA polis mengawal di Rollestone Street, Salisbury. - Foto AFP
ANGGOTA polis mengawal di Rollestone Street, Salisbury. - Foto AFP

Britain siasat punca mangsa maut akibat Novichok

LONDON: Polis Britain semalam, melancarkan siasatan berhubung insiden pembunuhan seorang wanita yang maut kerana disyaki terdedah kepada agen saraf Novichok di barat daya England.

Kejadian itu berlaku kira-kira tiga bulan selepas bahan kimia yang sama digunakan untuk menyerang bekas ejen perisik Russia yang didakwa dilakukan oleh Moscow.

Perdana Menteri Britain, Theresa May, berkata beliau sangat terkejut selepas mendengar berita kematian mangsa, Dawn Sturgess, 44, iaitu ibu kepada tiga anak dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya.

Sturgess dan seorang lagi lelaki tempatan yang dikenali sebagai Charlie Rowley, 45, dari Amesbury dilaporkan jatuh sakit minggu lalu.

Lokasi kedua-dua mangsa ditemui terletak berhampiran dengan Salisbury, iaitu tempat kejadian bekas ejen dua muka Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia diserang dengan Novichok pada Mac lalu.

Kedua-duanya dilaporkan sudah sembuh akibat serangan itu.

Novichok adalah agen saraf yang digunakan pihak tentera dan ia dipercayai dihasilkan oleh Kesatuan Soviet ketika era Perang Dingin. - AFP

Berita Harian X