Khamis, 5 Julai 2018 | 10:42pm
BRITAIN hari ini menuntut penjelasan daripada Russia, selepas satu pasangan terdedah kepada ejen saraf, di Amesbury. - Foto EPA
BRITAIN hari ini menuntut penjelasan daripada Russia, selepas satu pasangan terdedah kepada ejen saraf, di Amesbury. - Foto EPA

Hubungan Russia, Britain kembali tegang

SALISBURY: Britain hari ini menuntut penjelasan daripada Russia, selepas satu pasangan terdedah kepada ejen saraf sama yang digunakan terhadap bekas perisik Russia dan anak perempuannya dalam cubaan bunuh gagal kononnya dilakukan Moscow.

Bagaimanapun, Russia pantas bertindak balas dengan menyelar Britain 'bermain politik kotor' dan menuntut London memohon maaf.

Pasangan di Britain itu jatuh sakit di Amesbury, sebuah kawasan kecil di barat daya bandar Salisbury, Sabtu lalu di mana bekas perisik Russia, Sergei Skripal dan anak perempuan beliau, Yulia terkena ejen saraf sama pada 4 Mac lalu.

Insiden itu mencetuskan krisis diplomatik dengan Russia, selepas Britain dan sekutunya menuduh Moscow cuba membunuh mangsa. Namun, Kremlin tegas menolak dakwaan itu.

Bercakap kepada Parlimen hari ini, Menteri Dalam Negeri, Sajid Javid berkata, kaitan antara kedua-dua kes itu adalah tumpuan siasatan dan menuntut Moscow memberi penjelasan.

"Sudah tiba masanya Russia tampil menjelaskan apa yang sedang berlaku. Kami tidak boleh menerima rakyat Britain menjadi sasaran sengaja atau tidak. Jalan, taman dan bandar kami bukan tempat untuk membuang racun," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan beliau mencetuskan tindak balas tegas dengan mencadangkan polis British tidak terbabit dalam taktik politik meragukan.

"Kami menggesa penguatkuasa undang-undang British tidak terbabit dalam permainan politik kotor, sebaliknya bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang Russia dalam siasatan mereka.

"Kerajaan British dan wakilnya perlu memohon maaf dengan Russia dan komuniti antarabangsa dan ia akan berlaku," kata jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova. - AFP

Berita Harian X