Khamis, 5 Julai 2018 | 6:33pm
Pegawai polis berdiri di luar rumah di mana Dawn S. dan Charlie R. didapati tidak sedarkan diri dipercayai angkara racun saraf Novichok pada malam Sabtu, di Amesbury, Britain. - Foto EPA-EFE
Pegawai polis berdiri di luar rumah di mana Dawn S. dan Charlie R. didapati tidak sedarkan diri dipercayai angkara racun saraf Novichok pada malam Sabtu, di Amesbury, Britain. - Foto EPA-EFE

Britain desak Russia dedah maklumat Novichok

AMESBURY: Britain mendesak Kerajaan Russia memberi maklumat lengkap mengenai agen saraf Novichok, yang didakwa digunakan dalam serangan ke atas bekas perisik dan anak perempuannya, selepas dua rakyat negara itu jatuh sakit, dipercayai angkara racun yang sama.

Dua warga Britain, iaitu wanita berusia 44 tahun dan seorang lelaki berusia 45 tahun dilaporkan kritikal selepas disyaki terdedah kepada agen saraf itu di lokasi berhampiran serangan ke bekas ejen dua muka, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia.

Britain menuduh Russia bertanggungjawab meracun Sergei dan Yulia dengan Novichok, iaitu agen saraf yang dihasilkan oleh tentera Soviet ketika Perang Dingin.

Ia dipercayai insiden pertama membabitkan penggunaan senjata kimia di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Dalam pada itu, Russia yang kini sedang sibuk selaku tuan rumah kejohanan bola sepak, Piala Dunia, menolak tuduhan terbabit dalam insiden pada Mac lalu dan mendakwa serangan dilancarkan oleh perkhidmatan keselamatan Britain bagi menimbulkan sikap anti Moscow di negara itu.

"Kerajaan Russia boleh memperbetulkan keadaan ini. Mereka boleh memberitahu kami apa yang berlaku, apa yang mereka lakukan dan memberi penjelasan mengenai beberapa perkara yang cuba kami selesaikan.

"Saya masih menunggu panggilan telefon dari Kerajaan Russia," kata Menteri Keselamatan Britain, Ben Wallace.

Sementara itu, dua rakyat Britain yang ditemui dalam keadaan tenat pada Sabtu lalu, pada awal dilaporkan mengambil heroin berlebihan atau kokain tercemar.

Namun, ujian yang dijalankan oleh pusat penyelidikan tentera Porton Down menunjukkan kedua-dua mangsa terdedah kepada Novichok. - Reuters

Berita Harian X