Khamis, 5 Julai 2018 | 9:56am
Wang Jian
Wang Jian

Hartawan China maut akibat terjatuh di Perancis

MARSEILLE: Seorang hartawan China, Wang Jian, yang mana syarikat konglomerat HNA Group miliknya mempunyai sejumlah aset di luar negara, maut selepas terjatuh daripada tembok ketika bersiar-siar di selatan Perancis, kata polis dan firmanya semalam.

Wang mengalami kemalangan jiwa itu Selasa lalu di perkampungan tepi bukit dengan pemandangan indah di Bonnieux selepas memanjat tembok, sama ada untuk melihat pemandangan lembah di bawahnya atau mengambil gambar, kata sumber keselamatan tempatan.

"Beliau melompat ke atas tembok dan terjatuh akibat tindakan itu," kata sumber rapat dengan kes itu kepada AFP.

LOKASI Wang Jian terjatuh tepi bukit di Bonnieux. - Foto Reuters
LOKASI Wang Jian terjatuh tepi bukit di Bonnieux. - Foto Reuters

Ahli perniagaan berusia 57 tahun itu, pengasas bersama HNA dan eksekutif kedua tertinggi syarikat, jatuh ke dalam jurang sedalam 10 meter, mengalami kecederaan parah yang gagal dirawat perkhidmatan kecemasan di tempat kejadian.

"Kami meratapi kehilangan seorang pemimpin sejati dan model contoh yang mana visi dan nilainya akan terus menjadi cahaya untuk semua yang mengenalinya," kata firmanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di China.

HNA berkata, Wang, yang mana kekayaan peribadinya dianggarkan bernilai AS$1.7 bilion (RM6.9 bilion) oleh majalah Forbes mengunjungi Bonnieux ketika lawatan perniagaan ke Perancis. -AFP

Berita Harian X