Khamis, 5 Julai 2018 | 7:24am
SEPASANG suami isteri warga Britain yang kini kritikal di sebuah perkampungan Inggeris terdedah kepada Novichok. - Foto AFP
SEPASANG suami isteri warga Britain yang kini kritikal di sebuah perkampungan Inggeris terdedah kepada Novichok. - Foto AFP

Pasangan Britain terdedah kepada Novichok - Polis

AMESBURY: Sepasang suami isteri warga Britain yang kini kritikal di sebuah perkampungan Inggeris di sini terdedah kepada Novichok, agen saraf sama digunakan dalam kes meracun bekas perisik Russia dan anak perempuannya di bandar berhampiran Salisbury tahun ini, kata polis.

Polis anti-keganasan kini mengetuai siasatan terhadap insiden itu selepas ujian di makmal pertahanan Porton Down mengesahkan sifat asal sebatian itu, yang dikatakan Britain adalah agen saraf gred tentera buatan Soviet.

"Ia adalah agen saraf sama. Sama ada kami dapat memberitahu jika ia datang daripada kumpulan sama terpulang kepada saintis menentukannya.

"Keutamaan untuk pasukan siasatan kini ialah mengenal pasti bagaimana dua orang ini ada kaitan dengan agen saraf," kata ketua polis anti-keganasan, Neil Basu kepada media.

Basu berkata, tiada bukti mendakwa lelaki dan wanita itu, dikenali sebagai Charlie Rowley dan Dawn Sturgess, 'menjadi sasaran.'

Kedua-duanya jatuh sakit Sabtu lalu di sini, di barat daya England, hampir dengan tempat di mana bekas ejen muka dua Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia terjelepok di atas bangku 4 Mac lalu, dalam insiden mencetuskan krisis diplomatik tegang dengan Russia.

"Kemungkinan dua siasatan ini mungkin berkait jelasnya satu persoalan buat kami," kata Basu.

Beliau berkata, tiada bukti pasangan itu 'melawat mana-mana kawasan yang tercemar' selepas insiden meracun anak beranak itu.

"Ini masih risiko rendah kepada orang awam," katanya. -AFP

Berita Harian X