Jumaat, 22 Jun 2018 | 9:00pm
PUTERA Charles (kiri) dan Camilla (dua dari kiri), disambut orang ramai ketika mereka membuat lawatan di Guildhall di Salisbury, Wiltshire, Britai. - Foto EPA
PUTERA Charles (kiri) dan Camilla (dua dari kiri), disambut orang ramai ketika mereka membuat lawatan di Guildhall di Salisbury, Wiltshire, Britai. - Foto EPA

Putera Charles, isteri lawat Salisbury

SALISBURY: Putera Charles dan isterinya, Camilla membuat lawatan ke sini hari ini bagi menyokong bandar itu ketika ia cuba pulih daripada kesan serangan racun ke atas bekas ejen muka dua Russia dan anak perempuannya awal tahun ini.

Pasangan diraja itu melawat premis perniagaan dan bertemu penduduk tempatan sebelum menghadiri resepsi pihak yang cuba memulihkan industri pelancongan bandar berkenaan.

Jumlah pengunjung menurun sejak Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia ditemui terjelepok tidak sedarkan diri di atas bangku tidak jauh dari kediaman mereka, Mac lalu.

Mereka diracun menggunakan agen saraf era Perang Dingin, didakwa dilakukan Russia, menjejaskan hubungan Britain dan Moscow walaupun Kremlin menafikan pembabitan mereka.

Charles dan Camilla juga mengadakan pertemuan peribadi dengan Sarjan Detektif Nick Bailey yang jatuh sakit selepas menyentuh agen saraf Novichok berikutan cuba membantu kedua-dua mangsa.

Selama beberapa minggu bandar ini sentiasa dikepung polis ketika penyiasat dengan pakaian pelindung membuat calitan di kawasan tertentu.

Sergei Skripal, 66, adalah sebahagian pertukaran perisik antara Russia dan Britain pada 2010 dan sejak itu menetap di sini. Dia dibenarkan keluar dari hospital bulan lalu selepas beberapa minggu koma manakala anaknya Yulia, dibenarkan keluar April lalu. -Reuters

Berita Harian X