Sabtu, 19 Mei 2018 | 12:17am
Bekas perisik Russia, Sergei Skripal.
Bekas perisik Russia, Sergei Skripal.

Bekas perisik Russia dibenar keluar hospital

LONDON: Bekas perisik Russia, Sergei Skripal yang berada dalam keadaan kritikal selepas serangan ejen saraf di Britain lebih dua bulan lalu, sudah dibenarkan keluar dari hospital, kata pihak berkuasa kesihatan kebangsaan, hari ini.

Skripal, 66, bekas kolonel perisikan ketenteraan Russia yang mengkhianati puluhan ejen kepada Britain dan anak perempuannya, Yulia ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku di bandar selatan England, Salisbury pada 4 Mac lalu.

Tuduhan oleh Britain bahawa Russia adalah dalang serangan berkenaan mencetus krisis Russia-Barat dan kerajaan negara Barat, termasuk Amerika Syarikat yang mengusir lebih 100 diplomat Moscow.

Russia menafikan sebarang pembabitan mereka dalam insiden meracun mangsa itu.

Bapa dan anaknya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selama berminggu-minggu dan doktor menyuarakan kebimbangan mereka akan mengalami kerosakan otak jika masih hidup.

Namun, kesihatan mereka pulih dengan cepat dan Yulia terlebih dulu dibenarkan keluar dari hospital hujung bulan lalu.

"Ia satu berita menakjubkan bahawa Sergei Skripal sihat sepenuhnya untuk keluar dari Hospital Daerah Salisbury," kata Ketua Eksekutifnya, Cara Charles-Barks dalam satu kenyataan. - REUTERS.

Berita Harian X