Khamis, 19 April 2018 | 9:17am
Foto AFP
Foto AFP

Polis Jerman tumpas jenayah pemerdagangan manusia

BERLIN: Polis persekutuan Jerman melancarkan serbuan terbesar dalam sejarah negara itu semalam menumpaskan sindiket yang didakwa jenayah terancang pemerdagangan manusia membabitkan ratusan wanita dan transeksual dari Thailand untuk tujuan pelacuran.

Pasukan polis itu berkata, 1,500 pegawainya menyerbu lebih daripada 60 rumah pelacuran dan rumah pangsa di 12 daripada 16 negeri di Jerman.

Pendakwa kini menahan 56 suspek, 41 daripadanya wanita.

Pihak berkuasa berkata 17 suspek daripada kumpulan utama itu menyeludup wanita Thai dan transeksual ke Jerman menggunakan visa palsu untuk zon bebas pasport Schengen.

Mereka yang dibawa ke Jerman terpaksa menyerahkan 100 peratus daripada upah kepada pengusaha rumah urut masing-masing untuk membayar kos penyeludupan berjumlah 16,000 hingga 36,000 euro (RM77,791 hingga RM175,035).

Tujuh daripada tertuduh, termasuk seorang wanita Thai berusia 59 tahun dan rakan kongsinya seorang wanita Jerman berusia 62 tahun, kini ditahan menggunakan waran tangkap tertunggak.

Selain penyeludupan manusia, pelacuran paksa, pemerolehan dan menggelapkan wang upah, ketua-ketua rangkaian itu turut berdepan tuduhan cuba mengelak cukai, kata jurucakap pejabat pendakwa Frankfurt, Alexander Badle, kepada wartawan.

Sebahagian suspek boleh berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Pendakwa di Frankfurt, yang bekerjasama dengan polis dalam kes itu sejak Februari 2017, menganggarkan bahawa rangkaian itu menjana lebih daripada satu juta euro pendapatan. - AFP

Berita Harian X