Khamis, 19 April 2018 | 7:33am
DUTA Britain, Peter Wilson. - Foto Reuters
DUTA Britain, Peter Wilson. - Foto Reuters

Britain tuduh Russia langgar sekatan senjata kimia

THE HAGUE: Britain menuduh Russia melanggar larangan dua dekad senjata kimia dalam satu rundingan tergempar berhubung insiden meracun bekas perisik Kremlin menggunakan agen saraf.

Tuduhan itu dibuat ketika diplomat daripada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) bertemu secara tertutup di sini bagi membincangkan krisis itu.

Sementara itu, pemerhati penyiar Britain membuka tujuh siasatan separa terhadap saluran berita RT dari Russia, mendakwa 'satu peningkatan ketara' dalam program yang memerlukan siasatan sejak insiden meracun 4 Mac lalu.

Pakar OPCW minggu lalu mengesahkan penemuan Britain, bekas ejen muka dua Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya diracun menggunakan agen saraf.

Diasaskan pada 1997, OPCW meneliti permohonan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) menyasar menghapuskan simpanan senjata toksik dunia.

"Kami akan terus menyelar tingkah laku cuai dan melulu kerana melanggar Konvensyen ini dan mengancam keselamatan global," kata Duta Britain, Peter Wilson kepada OPCW.

Mesyuarat itu, dipanggil Britain adalah pertemuan kedua dalam tempoh tiga hari. Selepas menghantar pakarnya di Salisbury, OPCW minggu lalu mengesahkan dalam satu laporan, 'penemuan United Kingdom berkaitan identiti bahan kimia toksik.'

Ia bagaimanapun tidak menamakan sebatian itu atau asalnya secara terbuka, dikatakan Britain agen saraf Novichok, jenis pertama dibangunkan di Soviet Union pada 1970-an.

Moscow bertegas menafikan dakwaan itu, mengatakan keputusan OPCW dimanipulasi dan gagal mendedahkan kehadiran agen saraf BZ, digunakan Barat dalam sampel bioperubatan diambil daripada dua anak beranak itu.

Sergei, 66, masih dirawat di hospital sehingga 6 April lalu walaupun dia kini semakin pulih dan tidak lagi dalam keadaan kritikal. Anak perempuannya, Yulia, 33, sudah dibenarkan pulang dan menjalani pemulihan di lokasi rahsia. -AFP

Berita Harian X