Khamis, 12 April 2018 | 8:04pm

Agen saraf sah buatan Russia

LONDON: Pemerhati senjata kimia dunia, hari ini mengesahkan kajian Britain bahawa agen saraf yang digunakan dalam serangan ke atas bekas pengintip Kremlin dan anaknya di England bulan lalu berasal dari Russia.

Contoh yang diuji Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) mengesahkan kajian dibuat United Kingdom berkaitan mengenal pasti kimia toksik, menurut rumusan laporan kumpulan beribu pejabat di The Hague itu yang disiarkan di London.

Dalam rumusan kajiannya, OPCW, bagaimanapun tidak menyatakan pihak yang melakukan serangan pada 4 Mac lalu ke atas Sergei Skripal dan anaknya, Yulia, di Salisbury yang juga mencederakan seorang pegawai polis.

Britain dan sekutunya termasuk Amerika Syarikat menyalahkan Moscow tetapi disangkal keras Russia, dan mencetuskan perbalahan antarabangsa yang menyebabkan gelombang pengusiran diplomat kedua-dua pihak.

OPCW tidak menamakan kimia itu, berkata maklumat dan strukturnya akan didedahkan dalam laporan sulit sepenuhnya untuk negara yang menyertai pertubuhan itu.

Britain menamakan ia sebagai Novichok, bahan kimia berkuasa dan bahaya yang dibangunkan kerajaan Kesatuan Soviet pada 1970-an dan 1980-an. - AFP

Berita Harian X