Selasa, 10 April 2018 | 3:59pm
YULIA Skripal (kanan) dan bapanya, Sergei Skripal.
YULIA Skripal (kanan) dan bapanya, Sergei Skripal.

Bekas perisik, anak dibenar keluar hospital

LONDON: Yulia Skripal dan bapanya, bekas perisik Russia yang diracun agen saraf di Britain awal bulan lalu, dibenarkan keluar dari hospital, lapor Sky News hari ini.

Jumaat lalu, doktor yang merawat berkata, tahap kesihatan Yulia, 33, dan ayahnya, Sergei Skripal, 66, pulih dengan cepat, beberapa minggu selepas mereka dijumpai tidak sedarkan diri di atas bangku 4 Mac lalu di Salisbury, dekat sini.

Britain berkata, mereka diracun dengan agen saraf gred tentera, Novichok dan menyalahkan Russia atas serangan itu. Moscow menafikan sebarang pembabitan dalam insiden yang memburukkan hubungan dengan Barat selepas era Perang Dingin.

Minggu lalu, Yulia mengeluarkan kenyataan, tahap kesihatannya bertambah baik setiap hari sementara bapanya tidak lagi dalam keadaan kritikal.

Sky News berkata, sumber tidak dinamakan berkata, Yulia dijangka dibenarkan keluar dari hospital di Salisbury semalam namun tidak dapat mengesahkannya. Satu kenyataan doktor dijangka dikeluarkan hari ini. Jurucakap hospital bagaimanapun enggan mengulas. - Reuters

Berita Harian X