Ahad, 8 April 2018 | 6:32pm
Duta Russia, Alexander Yakovenko.
Duta Russia, Alexander Yakovenko.

Moscow tuduh Britain sengaja tahan maklumat siasatan

LONDON: Kedutaan Russia di ibu kota England hari ini menuduh Britain sengaja menahan maklumat siasatan mengenai beberapa rakyat Russia yang menjadi sasaran di negara itu, ketika perang lisan kedua-dua negara berterusan.

Kenyataan kedutaan berkata, ia meminta Kementerian Luar Britain menyerahkan maklumat terperinci mengenai siasatan ke atas pembunuhan rakyat Russia dalam buangan, Nikolai Gluskov, pada 12 Mac lalu.

Ahli perniagaan berusia 68 tahun itu, yang mendapat suaka politik di Britain selepas dipenjarakan di Russia kerana kesalahan pengubahan wang haram dan penipuan, meninggal dunia akibat 'tekanan pada leher', menurut laporan bedah siasat.

Ia berlaku seminggu selepas kes racun ejen saraf ke atas bekas pengintip Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, di bandar raya Salisbury.

Britain menyalahkan Moscow di atas serangan itu, yang menyangkal keras dakwaan berkenaan.

"Hampir sebulan sejak kematian Glushov, dan apa yang berlaku kepada Sergei dan Yulia Skripal, Britain masih tidak memberikan sebarang maklumat.

"Memandang kami sudah mengemukakan banyak permohonan, apa yang kami boleh katakan ia disengajakan," kata kenyataan.

Ia menambah, duta Russia, Alexander Yakovenko, bercadang meminta bertemu dengan Pesuruhjaya Polis Metropolitan untuk maklumat lanjut.

"Bagi Russia, pembunuhan ini mempunyai dimensi jenayah dan politik," menurut kenyataan lagi. - AFP

Berita Harian X