Khamis, 5 April 2018 | 1:36pm

Diplomat AS mula tinggalkan Russia

MOSCOW: Kumpulan pertama 60 diplomat Amerika Syarikat yang diusir dari Russia susulan perbalahan kes racun bekas pengintip Kremlin berlepas dari kedutaan Washington di Moscow awal hari ini.

Puluhan diplomat AS dan keluarga mereka meninggalkan perkarangan kedutaan dengan tiga bas dan sebuah bas mini pada jam 6.30 pagi waktu tempatan dan menuju ke lapangan terbang, selepas Moscow menetapkan hari ini sebagai tarikh akhir mereka meninggalkan negara itu.

Gelombang penyingkiran diplomat disebabkan kes racun Sergei Skripal pada 4 Mac lalu di Salisbury, England, dengan Britain berkata ia menggunakan ejen saraf gred tentera yang dibangunkan Kesatuan Soviet.

Bekas pengintip itu, yang berpaling tadah ke Britain, ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku sebuah taman di Salisbury, bersama-sama anak perempuannya, Yulia, yang juga cedera kritikal.

London berkata, berkemungkinan tinggi Moscow mendalangi cubaan membunuh itu, dakwaan yang disangkal keras Kremlin.

Hubungan antara Moscow dan Barat semakin tegang sejak itu.

Lebih 150 diplomat Russia diarahkan keluar dari AS, Kesatuan Eropah, negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan beberapa negara lain sebagai hukuman, langkah yang dibalas balik dengan cara sama oleh Moscow.

Pada akhir Mac, Moscow mengarahkan 60 diplomat AS meninggalkan Russia, selain penutupan konsulat di St Petersburg. - AFP

Berita Harian X