Khamis, 5 April 2018 | 9:16am
Dari kiri; Pengarah Pusat Penyelidikan Analisis Konvensyen Senjata Kimia dan Biologi di bawah Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Russia, Viktor Kholstov, Duta Russia ke Belanda, Alexander Shulgin, Timbalan Menteri Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Russia, Georgiy Kalamanov dan Ketua Makmal Kimia Pusat Saintifik Kementerian Pertahanan Russia, Igor Rybalchenko bercakap kepada media semasa sidang akhbar di kedutaan Russia di Amsterdam mengenai skandal keracunan Skripal. - Foto AFP

Russia gagal desak siasatan bersama kes racun

THE HAGUE: Russia gagal dalam usaha mendesak siasatan bersama diadakan mengenai kes racun bekas pengintip Kremlin apabila cuma mendapat enam sokongan berbanding 15 yang membantah pada pertemuan pemerhati senjata kimia global.

Moscow menggesa mesyuarat tergempar dalam kalangan eksekutif pembuat dasar Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) untuk menangani tuduhan Britain ia mendalangi serangan ejen saraf ke atas Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, pada 4 Mac lalu di Salisbury, England.

Ketika mesyuarat diadakan semalam, Russia mencadangkan siasatan bersama mengenai kes itu kerana ia tidak dijemput untuk mengambil bahagian dan siasatan bebas dilakukan OPCW atas permintaan Britain.

Keputusan dijangka diketahui minggu depan.

Britain menyifatkan cadangan siasatan bersama itu sebagai cubaan melarikan diri daripada dipersalahkan dalam kes racun Skripal dan anaknya.

Cadangan Russia mengundang sokongan China, Azerbaijan, Sudan, Algeria dan Iran, kata sumber, dengan AS dan anggota Eropah menentang rancangan itu.

Perkhidmatan keselamatan United Kingdom percaya mereka menjumpai lokasi makmal Russia menghasilkan ejen saraf yang digunakan dalam serangan di Salisbury, lapor akhbar The Times semalam.

Britain sedar kewujudan lokasi itu sebelum serangan berkenaan.

Ia merujuk sumber keselamatan tidak dikenali sebagai berkata mereka 'amat yakin dengan lokasi itu.'

Dakwaan pembabitan Russia oleh Britain, walaupun disangkal keras Moscow, mencetuskan pengusiran beramai-ramai diplomat dari Kremlin oleh sekutu Britain di Barat, termasuk Amerika Syarikat dan tindakan membalas dendam sama diambil Russia. - Reuters

Berita Harian X