X
Selasa, 3 April 2018 | 8:27am
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov sewaktu bertemu rakan sejawatan dari Bangladesh, Abul Hassan Mahmood pada mesyuarat yang diadakan di Moscow. - Foto AFP
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov sewaktu bertemu rakan sejawatan dari Bangladesh, Abul Hassan Mahmood pada mesyuarat yang diadakan di Moscow. - Foto AFP

Russia tuduh Britain dalang kes racun bekas pengintip

MOSCOW: Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, semalam menyatakan Britain mungkin mendalangi kes racun bekas pengintip Kremlin yang mencetuskan gelombang penyingkiran diplomat.

Semalam, Lavrov memberitahu sidang akhbar bahawa serangan terhadap Skripal 'mungkin ada kepentingan bagi kerajaan Britain yang mendapati ia berada dalam keadaan tidak selesa kerana gagal memenuhi janji pilihan raya mengenai syarat keluar daripada Kesatuan Eropah'.

Beliau mengulangi Moscow tiada sebab untuk meracun Skripal, yang disabitkan khianat dan diserahkan pada 2010 dalam kes pertukaran pengintip, menjelang pilihan raya presiden Mac lalu dan beberapa bulan sebelum Russia menjadi hos kejohanan Piala Dunia.

Katanya, tindakan meracun Skripal 'juga mungkin didalangi tentera khas Britain yang dikenali dengan kemampuan bertindak dengan adanya lesen untuk membunuh'.

Lebih 150 diplomat Russia diarahkan keluar dari Amerika Syarikat, negara blok Kesatuan Eropah, negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan beberapa negara lagi sebagai hukuman di atas serangan terhadap Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, Mac lalu di Salisbury, England.

Britain menuduh Moscow melakukan serangan itu.

Empat diplomat Russia yang diusir dari Jerman tiba di Moscow hujung minggu lalu, kata kedutaan Russia di Berlin, menjelang tarikh akhir dikenakan ke atas negara itu semalam.

Seorang diplomat Russia juga meninggalkan Macedonia bersama-sama anggota keluarganya awal semalam.

Kremlin menyangkal keras tuduhan ia mendalangi serangan ejen saraf itu dan mengarahkan Britain dan sekutunya memanggil pulang sebahagian diplomat mereka di Russia. - AFP

Berita Harian X