Jumaat, 30 March 2018 | 10:19pm

Russia bertindak balas usir diplomat Barat

MOSCOW: Russia memanggil beberapa diplomat kanan Barat hari ini untuk memaklumkan bilangan pegawai kedutaan mereka yang diusir, ketika ketegangan berhubung insiden bekas perisik Russia dan anak perempuan beliau diracun di Britain semakin buruk.

Moscow semalam berkata, ia mengusir 60 diplomat Amerika Syarikat (AS) dan akan mengusir ramai lagi diplomat negara lain yang mengikut langkah London dan Washington dalam menghukum Moscow yang dituduh meracun Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia.

Britain dan Russia sudah mengusir 23 diplomat masing-masing berhubung penggunaan ejen saraf bertaraf ketenteraan pertama di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, tetapi duta Britain, Laurie Bristow, dipanggil balik semalam.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Russia berkata, Bristow dimaklumkan London hanya mempunyai tempoh sebulan untuk mengurangkan kontingen diplomatiknya di Russia kepada jumlah sama misi Russia di Britain.

Setakat ini, masih belum jelas sama ada ramai kakitangan akan dikurangkan. Seorang jurucakap Kementerian Luar Britain berkata, tindak balas Russia amat dikesali dan Moscow jelas melanggar undang-undang antarabangsa di atas serangan itu.

Insiden serangan racun di selatan England itu dilihat menyatukan Barat untuk mengambil tindakan terhadap dasar permusuhan Presiden Vladimir Putin termasuk Presiden AS, Donald Trump sendiri yang sebelum ini diharapkan Putin akan cuba memulihkan hubungan.

Russia menolak tuduhan Britain bahawa ia bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan dan mendakwa itu adalah rancangan Barat untuk mensabotaj hubungan Timur dan Barat serta memulaukan Moscow. - Reuters

Berita Harian X