Rabu, 28 March 2018 | 11:40pm
VLADIMIR Putin. - Foto EPA
VLADIMIR Putin. - Foto EPA

Russia ikrar bertindak balas kes usir diplomat

MOSCOW: Russia akan bertindak balas sama kepada pengusiran beramai-ramai diplomatnya oleh Barat berhubung kes racun bekas pengintip Kremlin, Sergei Skripal, di bandar raya Salisbury di England.

Speaker Dewan Negara, Valentina Matviyenko, berkata Russia akan bertindak balas.

"Tanpa keraguan lagi, Russia, akan bertindak sama dan memantau persamaan apabila menyentuh bilangan diplomat," agensi berita RIA memetik beliau sebagai berkata.

Apa yang bermula dengan perbalahan antara London dan Moscow selepas Britain menuduh Russia menggunakan ejen saraf untuk meracun Skripal dan anak perempuannya kini merebak menjadi kemarahan antarabangsa kepada Kremlin, malah sebahagian kerajaan yang mesra Russia turut mengusir diplomat negara itu.

Memasuki senarai kerajaan berkenaan hari ini adalah Slovakia, Malta dan Luxembourg, yang memanggil balik duta masing-masing di Moscow untuk rundingan, manakala Montenegro berkata akan mengusir diplomat Russia.

Tindakan terbesar dilakukan Amerika Syarikat, yang kelmarin berkata sudah mengusir 60 diplomat Russia.

Ia menjejaskan harapan Presiden Vladimir Putin membentuk hubungan mesra dengan Presiden Donald Trump. - Reuters

Berita Harian X