Rabu, 28 March 2018 | 8:16pm
 PESURUHJAYA Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell. - Foto Amirudin Sahib
PESURUHJAYA Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell. - Foto Amirudin Sahib

Serangan agen saraf adalah isu dunia: Treadell

KUALA LUMPUR: Britain mengingatkan dunia, termasuk Malaysia agar berwaspada dengan serangan agen saraf seperti yang berlaku di negara itu kerana ia membabitkan jenayah antarabangsa yang tidak boleh diterima.

Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell berkata, bukti kukuh pembabitan Russia jelas dalam beberapa insiden dan kejadian itu bukan pertama kali berlaku.

"Russia melakukan pencerobohan terhadap kedaulatan Crimea, menyokong pemberontak Ukraine termasuk menggunakan peluru berpandu untuk menjatuhkan MH17.

"Kami sedar mereka melakukan serangan siber untuk menceroboh sistem kami untuk mencari maklumat perisikan," katanya pada sidang media, di Pejabat Kedutaan Britain, di Menara Binjai, hari ini.

Katanya, perkara ini tidak boleh berterusan dan masyarakat antarabangsa perlu bertindak balas. Britain mengetuainya dan disokong negara rakan dan sekutu di seluruh dunia.

"Kami berhubung dan mengadakan perbincangan di seluruh dunia untuk mendapatkan sokongan kerana ia bukan hanya disebabkan satu insiden tetapi ia adalah soal dunia," katanya.

Treadell berkata, negara seperti Malaysia akan memahami apa yang beliau maksudkan kerana ia bukan hanya soal MH17 tetapi insiden serangan abang kepada Pemimpin Republik Rakyat Korea Utara (DPRK), Kim Jong Nam yang menyamai serangan yang berlaku di Salisbury.

"Kami segera mengutuk tindakan Pyongyang. Saya sedar kesannya kepada rakyat Malaysia untuk membincangkan sesuatu yang dianggap sebagai pencerobohan kepada kedaulatan negara," katanya.

Treadell juga memuji Malaysia kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu-satunya pemimpin di rantau ini yang mengutuk serangan agen saraf terhadap bekas perisik Russia, Sergei Skripal di Salisbury, selatan England.

Sehubungan itu, beliau turut mengatakan pendirian Britain yang mahu semua negara dunia berganding bahu dan bangkit untuk menentang jenayah antarabangsa yang dilakukan negara pelaku seperti Russia. Ini kerana serangan seperti itu boleh berlaku di mana-mana saja.

Berita Harian X