Rabu, 28 March 2018 | 7:01pm

Montenegro usir diplomat Russia

BELGRADE: Montenegro bersetuju untuk mengusir diplomat Russia, berikutan insiden bekas perisik Russia yang belot diracun di selatan England.

Kerajaan Britain menuduh Russia bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Kerajaan Montenegro dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu selaras dengan langkah yang diambil oleh sekutu dan rakan kongsinya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta Kesatuan Eropah (EU), selain bagi menyokong tindakan sama yang diambil oleh Britain.

Montenegro adalah anggota terbaharu NATO dan pernah menyatakan hasrat untuk menyertai EU.

Negara itu turut menarik balik persetujuan untuk membenarkan pelantikan konsul kehormat Russia ke negara itu.

Sementara itu, diplomat Russia di Podgorica gagal dihubungi untuk mengulas mengenai perkara itu.

Hubungan dua hala antara Russia dan Montenegro mula tegang sejak Oktober 2016, selepas Russia disyaki menjadi dalang rancangan membunuh perdana menteri negara itu, bagi menggulingkan kerajaan. - Reuters

Berita Harian X