Selasa, 27 March 2018 | 9:11pm

Kes Skripal cetus Perang Dingin baharu

MOSCOW: Media Russia hari ini berkongsi pandangan, pengusiran terancang negara Barat ke atas diplomatnya susulan isu meracun bekas perisik di Britain menjerumuskan hubungan Moscow dengan Barat ke arah 'Perang Dingin' baharu.

Sebanyak 24 negara termasuk 17 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) mengusir lebih 100 diplomat Russia berhubung cubaan bunuh warga Kremlin, Sergei Skripal dan anak perempuannya di England.

Akhbar harian proKremlin, Izvestia mengecam apa yang digelarnya satu 'flash mob' sementara akhbar harian Nezavisimaya Gazeta menegaskan 'tidak pernah berlaku pengusiran terancang seperti itu.'

"Hubungan antara Russia dan Barat memasuki tempoh satu Perang Dingin sepenuhnya. Pengusiran itu terutamanya menjurus kemusnahan hubungan Russia-Amerika.

"Ini bukan tamatnya satu kemuncak. Ia kemungkinan bertambah buruk," kata penganalisis politik Fedor Lukyanov menulis dalam akhbar harian Vedomosti.

Beliau menambah, pihaknya menjangka Barat akan mengeluarkan lebih banyak sekatan ekonomi teruk ke atas Russia di masa akan datang.

Akhbar harian perniagaan Kommersant menulis, 'langkah teruk tidak dijangka itu adalah satu lagi pusingan ketegangan agresif dalam hubungan Russia-Barat.'

Penganalisis politik, Stanislav Belkovsky berkata, dasar luar Russia diserang oleh 'tenaga kemusnahan tertumpu' sejak 2014, tahun ketika Moscow menduduki semenanjung Crimea Ukraine, menarik sekatan ekonomi balas dari Barat.

"Hubungan buruk antara Russia dan Barat adalah lebih baik untuk Presiden (Vladimir Putin," tulis Belkovsky dalam blog untuk stesen radio popular Echo of Moscow.

Skripal adalah bekas pegawai perisik tentera Russia yang menjual rahsia kepada Britain dan berpindah ke sana pada 2010 dalam satu pertukaran perisikan.

Dia dan anak perempuannya, Yulia masih dalam keadaan kritikal selepas ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku sebuah taman di Salisbury pada 4 Mac lalu. -AFP

Berita Harian X