Selasa, 27 March 2018 | 1:36am
KEDUTAAN Russia di Ottawa, Kanada. - Foto Reuters
KEDUTAAN Russia di Ottawa, Kanada. - Foto Reuters

'Kuasa hebat' di sebalik serangan agen saraf - Russia

MOSCOW: Kementerian Luar Russia semalam mendakwa 'kuasa hebat' di Amerika Syarikat (AS) dan Britain bertanggungjawab terhadap serangan agen saraf di England, namun kerajaan British menyalahkan Moscow, lapor agensi berita RIA Novosti.

Kenyataan itu dikeluarkan dengan AS dan negara Kesatuan Eropah (EU) mengusir lebih 100 diplomat Russia semalam untuk menghukum Kremlin di atas serangan agen saraf terhadap bekas perisik Russia di Britain.

Ia adalah tindakan paling tegas Presiden AS, Donald Trump terhadap Russia, sejak mengambil alih jawatan. Beliau sebelum ini, dikritik ahli Demokrat dan ahli parti Republikan sendiri kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap Russia.

Perdana Menteri British, Theresa May menyambut baik penyatuan itu berkata, 18 negara mengumumkan rancangan mengusir pegawai Russia. Ia termasuk 14 negara EU dan Ukraine, Kanada serta Albania.

Keseluruhannya, pengumuman pengusiran negara Barat semalam membabitkan lebih 100 diplomat dan adalah pengusiran diplomat Russia terbesar oleh Barat, sejak kemuncak Perang Dingin.

Dalam perkembangan sama, May memaklumkan semalam lebih 130 orang terdedah kepada agen saraf bertaraf ketenteraan yang digunakan untuk meracun bekas perisik Sergei Skripal dan anak perempuan beliau di bandar Salisbury pada bulan ini. - Reuters

Berita Harian X