Jumaat, 23 March 2018 | 11:39pm
Pegawai keselamatan dan polis Perancis berkumpul di luar pasar Super U di bandar Trebes, selatan Perancis, di mana seorang lelaki mengambil tebusan sekurang-kurangnya dua sebelum dia dibunuh oleh pasukan keselamatan. - Foto AFP
Pegawai keselamatan dan polis Perancis berkumpul di luar pasar Super U di bandar Trebes, selatan Perancis, di mana seorang lelaki mengambil tebusan sekurang-kurangnya dua sebelum dia dibunuh oleh pasukan keselamatan. - Foto AFP

Terkini: 3 maut, penyerang tidak dianggap ancaman

TRÈBES: Lelaki yang membunuh tiga orang dalam kejadian tembakan dan tebusan di selatan Perancis hari ini dikenali polis namun tidak dianggap ancaman, kata Menteri Dalam Negeri Gerard Collomb.

Collomb menamakan lelaki bersenjata yang dibunuh polis sebagai Redouane Lakdim, 26, dan menyifatkannya sebagai pengedar dadah kecil-kecilan.

"Dia dikenali polis kerana melakukan jenayah kecil-kecilan dan kami memantaunya serta tidak menganggap dia bertukar radikal.

"Dia sedang diawasi apabila secara tiba-tiba bertindak," kata Collomb selepas tiba di tempat kejadian tebusan di sini, berhampiran Carcassone.

Sumber keselamatan berkata, lelaki bersenjata terbabit dipercayai rakyat Maghribi yang berada dalam senarai pemerhatian sebagai suspek pelampau Islam, namun Collomb tidak mengesahkan kerakyatannya.

Saksi berkata, Lakdim melaungkan 'Allahu Akbar' di sebuah pasar raya di sini, apabila mengambil beberapa tebusan sejurus melepaskan tembakan ke arah penumpang dalam sebuah kereta dan pegawai polis di Carcassonne.

Dia akhirnya membebaskan tebusan selepas seorang anggota polis bertukar tempat. Pasukan keselamatan menyerbu pasar raya itu selepas dia menembak pegawai terbabit yang cedera parah.

Terdahulu, Lakdim pada mulanya merampas sebuah kereta di Carcassonne, membunuh penumpang dan mencederakan pemandu sebelum menembak seorang anggota polis yang berjoging.

Penembak kemudian memandu kereta itu ke pasar raya Super U dan menahan tebusan lebih tiga jam, membunuh dua lagi mangsa.

Pasukan keselamatan kemudian menembak mati Lakdim yang bersenjatakan pisau, senapang serta bom tangan.

Pada masa sama, militan Daesh mengaku bertanggungjawab dalam insiden tembakan dan tebusan, kata agensi propagandanya, Amaq.

"Individu yang melakukan serangan di Trebes, selatan Perancis adalah askar Daesh dan dia menjalankan operasi sebagai tindak balas terhadap gesaan menyasarkan negara pakatan anti-Daesh antarabangsa," kata Amaq dalam kenyataan menerusi Telegram. -AFP

Berita Harian X