Khamis, 22 March 2018 | 8:13am
THERESA May desak pemimpin EU bersatu bagi menentang ancaman Russia. - Foto AFP
THERESA May desak pemimpin EU bersatu bagi menentang ancaman Russia. - Foto AFP

Theresa May mahu EU bersatu menentang Russia

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May mendesak pemimpin Kesatuan Eropah (EU) untuk bersatu bagi menentang ancaman Russia yang dijangka berterusan selama beberapa tahun, berikutan serangan agen saraf di Britain.

Dalam sidang kemuncak EU di Brussels, May berkata, cubaan membunuh bekas perisik Russia yang belot, Sergei Skripal di Salisbury di selatan England, boleh berlaku di mana sahaja dan beliau mendakwa Russia bertanggungjawab terhadap insiden itu.

"Cabaran daripada Russia adalah antara yang perlu kita hadapi untuk tempoh beberapa tahun akan datang," kata pejabat May mengenai ucapan yang bakal disampaikan oleh perdana menteri itu kepada pemimpin EU dalam satu majlis makan malam,

hari ini.

May juga dijangka berkata: "United Kingdom akan terus mempertahankan sistem demokrasi yang menjadi pegangan masyarakat Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan bersama-sama menentang ancaman ini. Bersatu kita akan berjaya".

Susulan insiden pada 4 Mac itu, Britain bertindak mengusir 23 diplomat Russia yang dipercayai bertugas sebagai perisik.

Difahamkan, Britain turut mendesak sekutu Eropah mereka untuk mengambil tindakan yang sama. - AFP

Berita Harian X