X
Selasa, 20 March 2018 | 10:30pm
 DIPLOMAT dan kakitangan kedutaan Russia mula meninggalkan ibu kota London. - Foto AFP
DIPLOMAT dan kakitangan kedutaan Russia mula meninggalkan ibu kota London. - Foto AFP

3 bas bawa diplomat Russia, keluarga tinggalkan London

LONDON: Diplomat dan kakitangan kedutaan Russia mula meninggalkan ibu kota ini bersama keluarga mereka dengan menaiki tiga bas hari ini, lapor wartawan.

Britain mengusir 23 diplomat Russia susulan serangan agen saraf ke atas bekas perisik muka dua Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, 4 Mac lalu.

Diplomat dan anggota keluarga mereka menunggu di luar bangunan kedutaan berdekatan Istana Kensington bersama bagasi, dilihat saling berpelukan dengan kakitangan yang tinggal sebelum menaiki beberapa kenderaan termasuk tiga bas.

Kira-kira 80 warga Russia meninggalkan ibu kota ini.

Pengusiran dilakukan ketika polis British berkata, siasatan terhadap insiden meracun itu mungkin mengambil masa berbulan untuk selesai sementara Setiausaha Luar Boris Johnson menuduh Russia 'cuba menutup kebenaran.'

Penggunaan senjata kimia pertama di Eropah sejak Perang Dunia Kedua itu menjerumuskan hubungan antara Moscow dan London ke kancah krisis.

Britain berkata, hanya Russia memiliki keupayaan, motif dan niat sebagai dalang serangan, yang menggunakan agen saraf Novichok, dilaporkan dibangunkan bekas Kesatuan Soviet. Russia nafi bertanggungjawab. -AFP

Berita Harian X