Selasa, 20 March 2018 | 9:01pm

Saintis Russia dakwa hasilkan Novichok

MOSCOW: Seorang saintis Russia memaklumkan media tempatan hari ini, beliau bekerja dengan satu program rasmi menghasilkan agen saraf dikatakan Britain digunakan ke atas bekas perisik Sergei Skripal, berbeza dengan dakwaan Moscow yang tidak pernah membangunkan Novichok.

Leonid Rink, memaklumkan agensi RIA Novosti, beliau bekerja dalam program disokong kerajaan sehingga awal 1990-an, menambah bekas ejen muka dua dan anak perempuannya akan mati jika Moscow terbabit dalam insiden meracun itu.

"Mereka masih hidup. Itu bermakna sama ada ia bukan sistem Novichok sama sekali atau aplikasi campuran teruk, cuai. Atau mungkin selepas terkena serangan, pihak United Kingdom menggunakan penawar, dalam kes mereka tahu jenis racun digunakan," katanya dalam temu ramah.

Rink berkata, beliau bekerja di sebuah makmal kerajaan di bandar tertutup Shikhan selama 27 tahun, di mana pembangunan Novichok membentuk asas disertasi ijazah kedoktorannya.

"Sekumpulan besar pakar di Shikhan dan Moscow berusaha menghasilkan Novichok," katanya.

Timbalan Menteri Luar Russia Sergei Ryabkov berkata minggu lalu, Moscow tidak pernah menganjurkan program membangunkan senjata kimia.

"Saya mahu menjelaskan bahawa Kesatuan Soviet atau Russia, tiada program membangunkan agen toksik digelar Novichok," katanya.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Luar Maria Zakharova berkata, Britain memilih nama 'Novichok' kerana ia berbunyi Russia dan akan mengaitkan Moscow dalam cubaan bunuh itu.

"Nama itu mewujudkan kaitan dengan Russia, sesuatu dengan Russia untuk memfokuskan perhatian terhadap negara kami," kata Zakharova menambah Britain, Slovakia, Republik Czech atau Sweden mungkin menjadi sumber agen saraf itu.

Skripal, bekas pegawai Russia yang menjual rahsia kepada Britain serta berpindah ke sana dalam pertukaran perisik pada 2010 kekal kritikal bersama anak perempuannya selepas ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku sebuah taman.

Penyiasat daripada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) tiba di Britain semalam untuk mengutip sampel agen saraf digunakan. -AFP

Berita Harian X