Sabtu, 10 March 2018 | 1:14pm

Tentera UK siasat serangan gas bekas perisik Russia

LONDON: Tentera British dikerah membantu siasatan anti keganasan berikutan serangan agen saraf ke atas seorang bekas perisik Russia yang menetap di negara itu.

Insiden ini mencetus spekulasi bagaimana London akan bertindak balas sekiranya Russia didapati bertanggungjawab.

Ahad lalu, bekas ejen Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bangku berhampiran kediaman mereka. Mereka dihantar ke sebuah hospital tempatan dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Ketua konstabel Polis Wiltshire, Kier Pritchard berkata, kira-kira 21 orang turut dirawat susulan insiden itu.

Akhbar Times berkata polis sedang menyiasat sama ada anak perempuan Skripal yang tiba di Britain dari Moscow minggu lalu, mungkin secara tidak sengaja membawa agen saraf itu sebagai hadiah.

Pihak berkuasa giat mencari sumber agen saraf yang digunakan terhadap Skripal, 66 yang datang ke Britain pada 2010 sebagai sebahagian daripada pertukaran perisik.

Skripal adalah bekas kolonel dalam perisikan tentera Russia yang dipenjarakan di negaranya kerana mengkhianati ejen dalam perkhidmatan rahsia MI6 Britain.

Dia diampunkan pada 2010 sebelum diterbangkan ke Britain. - AFP

Berita Harian X