Isnin, 1 Januari 2018 | 9:21pm
PERCIKAN bunga api di London Eye ketika sambutan Tahun Baharu di London. - Foto AFP
PERCIKAN bunga api di London Eye ketika sambutan Tahun Baharu di London. - Foto AFP

4 maut ditikam di London ketika Tahun Baru

LONDON: Empat lelaki ditikam hingga mati dalam insiden berasingan di ibu kota ini ketika sambutan Tahun Baru, sementara mangsa kelima dalam keadaan kritikal di hospital, kata polis hari ini.

Keganasan luar biasa itu menambah kebimbangan berkaitan jenayah pisau di ibu kota British itu, tertinggi sejak lima tahun.

Sekurang-kurangnya 80 maut dalam insiden tikaman di ibu kota ini pada 2017, lebih separuh daripada mangsa berusia bawah 25 tahun.

Polis melancarkan empat siasatan bunuh berasingan terhadap serangan semalaman, berlaku jauh dari pusat bandar di mana lebih 100,000 berkumpul menyaksikan pertunjukan bunga api malam Tahun Baru.

Seorang lelaki 18 tahun ditikam di Enfield, utara ibu kota ini lewat malam semalam dan meninggal dunia di hospital.

Polis berkata, susulan itu, lima lelaki ditahan.

ANGGOTA polis London mengawal ketika sambutan Tahun Baharu di London. - Foto EPA
ANGGOTA polis London mengawal ketika sambutan Tahun Baharu di London. - Foto EPA

Terdahulu, sekitar jam 7.30 malam waktu tempatan, seorang lelaki 20 tahun ditikam di West Ham, timur ibu kota ini sementara di Tulse Hill di selatan, remaja lelaki 17 tahun maut kira-kira jam 10.40 malam.

Awal pagi ini, lelaki 20 tahun ditikam di Old Street, kawasan sibuk dengan bar dan kelab di timur pusat bandar, manakala lelaki kedua berusia 20-an cedera dalam insiden sama, kini dirawat di hospital akibat kritikal.

Polis merekodkan hampir 12,100 serangan pisau di ibu kota ini sehingga Mac 2017, menyebabkan lebih 4,400 cedera, angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Jurucakap Polis Metropolitan berkata hari ini, 77 orang maut akibat jenayah pisau di bandar itu antara 1 Januari 2017 dan 22 Disember lalu.

November lalu, pejabat Datuk Bandar Sadiq Khan mendedahkan, 40 yang maut sejak awal tahun berusia bawah 25 tahun. - AFP

Berita Harian X