Sabtu, 28 Oktober 2017 | 1:09am
ANGGOTA penyelamat meneruskan operasi di kawasan perairan kepulauan Svalbard, Norway.
ANGGOTA penyelamat meneruskan operasi di kawasan perairan kepulauan Svalbard, Norway.

Misi cari mangsa helikopter terhempas diteruskan

OSLO: Misi mencari helikopter milik Russia dinaiki lapan penumpang yang dilaporkan terhempas, kelmarin diteruskan di kawasan perairan kepulauan Svalbard, Norway.

Pasukan penyelamat Norway berkata, operasi diteruskan dengan kerjasama pihak Russia dalam usaha mengesan mangsa yang terselamat, walaupun peluangnya dianggap tipis berikutan cuaca sejuk.

Suhu di kawasan itu dilaporkan pada kadar kosong darjah celsius dan misi mencari serta menyelamat semakin sukar berikutan suasana gelap sepanjang hari.

Sejak kelmarin, kapal peronda laut, pesawat milik Denmark, dua helikopter milik Norway dan beberapa kapal dilaporkan sudah menjalankan operasi mencari di kawasan terbabit.

"Sebuah kapal selam robot kecil turut dikerah semalaman untuk menyiasat kawasan itu, termasuk tumpahan minyak dan busa, tetapi gagal membuat sebarang penemuan.

"Pada masa sama, peluang untuk menemui mangsa terselamat adalah tipis.

"Namun, kita tidak menolak kemungkinan ada mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki rakit penyelamat," kata ketua operasi menyelamat, Tore Hongset.

Dalam pada itu, helikopter terbabit disyaki terhempas kira-kira dua atau tiga kilometer dari Barentsburg, Russia.

Selain lima kru, helikopter itu turut dinaiki tiga saintis dan semua penumpang adalah warga Russia. - AFP

Berita Harian X