Jumaat, 27 Oktober 2017 | 1:44am

Helikopter Russia bawa 8 penumpang hilang di Norway

OSLO: Sebuah helikopter milik Russia yang membawa lapan penumpang, termasuk juruterbang dilaporkan hilang di kawasan perairan di Svalbard, Norway, semalam.

Perkhidmatan penyelamat Norway berkata, helikopter itu dipercayai terhempas kira-kira dua atau tiga kilometer dari Barentsburg, iaitu kawasan perlombongan di Russia.

Setakat ini, nasib semua penumpang belum diketahui.

"Kami hanya dimaklumkan bahawa ia terjatuh di kawasan laut. Kami tidak tahu sama ada ia satu pendaratan terkawal atau sebaliknya," kata jurucakap perkhidmatan kecemasan kepada AFP.

Beliau berkata, Norway sudah mengerah helikopter dan kapal penyelamat ke lokasi kejadian yang bersalji.

Konsul Jeneral Russia di Svalbard, Viacheslav Nikolayev ketika memberitahu agensi berita Interfax, berkata selain tiga kru, helikopter itu turut membawa tiga saintis.

"Helikopter itu adalah milik syarikat Arktikugol dan sering membawa pelombong dari Longyearbyen (bandar di Svalbard) ke Barentsburg," katanya.

Sementara itu, Reuters yang memetik Kementerian Kecemasan Russia melaporkan semua lapan penumpang helikopter yang hilang itu adalah warga Russia.

Pasukan penyelamat kini sedang giat mengesan helikopter yang dilaporkan hilang jam 3.35 petang (waktu tempatan). - AFP/Reuters

Berita Harian X