Isnin, 23 Oktober 2017 | 8:04am
ANGGOTA polis mengawal pintu masuk di pusat boling di London. - Foto AFP
ANGGOTA polis mengawal pintu masuk di pusat boling di London. - Foto AFP

Drama tebusan lima jam berakhir

LONDON: Polis Britain menangkap seorang lelaki bersenjata dan membebaskan dua tebusan selepas ketegangan hampir lima jam di pusat boling.

Tangkapan di taman hiburan Bermuda Park di Nuneaton di tengah England, dibuat selepas polis mengosongkan kawasan itu apabila dimaklumkan mengenai kehadiran lelaki bersenjata berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi waktu tempatan.

"Kami lega kerana berjaya menyelesaikan kejadian itu secara aman tanpa kecederaan.

"Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat Nuneaton kejadian ini tiada kaitan dengan aktiviti keganasan," kata jurucakap Polis Warwickshire, Alex-Franklin Smith.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MFA Bowl, Mehdi Afshar, berkata tebusan adalah kakitangannya dan lelaki bersenjata terbabit ditangkap selepas polis menyerbu bangunan itu.

Dua pekerja itu ditahan lelaki yang digambarkan Afshar sebagai 'teman lelaki atau bekas suami seorang daripada staf'.

Perkhidmatan Ambulans West Midlands, berkata seorang suspek dirawat di lokasi kejadian dan dibawa ke hospital.

"Dua lagi lelaki diperiksa tetapi tidak cedera dan dibenarkan beredar," kata perkhidmatan itu menerusi Twitter. - Reuters

Berita Harian X