Selasa, 25 Jun 2024 | 9:28pm
Polis Israel menahan seorang penunjuk perasaan ketika menyuraikan orang Yahudi Ultra-Ortodoks yang menyekat lebuh raya semasa protes membantah kerahan tentera, di bandar Bnei Brak, Israel tengah. - Foto AFP
Polis Israel menahan seorang penunjuk perasaan ketika menyuraikan orang Yahudi Ultra-Ortodoks yang menyekat lebuh raya semasa protes membantah kerahan tentera, di bandar Bnei Brak, Israel tengah. - Foto AFP

Mahkamah Israel arah kerahan tentera bagi pelajar Yahudi ortodoks

BAITULMAQDIS: Mahkamah tertinggi Israel sebulat suara memutuskan supaya negara itu menggubal undang-undang bagi mewajibkan lelaki Yahudi ultra-Ortodoks menyertai perkhidmatan ketenteraan.

Perkembangan itu dikatakan berupaya menggulingkan pentadbiran pakatan Israel yang dipimpin Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, namun dianggap perlu bagi perang menentang Hamas.

Menurut hakim, pihak eksekutif tidak mempunyai kuasa untuk menghalang penguatkuasaan Undang-undang Perkhidmatan Keselamatan untuk pelajar ultra-Ortodoks, Yeshiva, jika tiada rangka kerja perundangan yang sesuai.

"Tanpa undang-undang yang memberikan pengecualian kepada pelajar di seminari Yahudi, negara mesti bertindak untuk menguatkuasakan undang-undang itu," katanya dalam keputusan.

Sebelum ini, berdasarkan sejarah, lelaki ultra-Ortodoks, diberikan pengecualian menyeluruh daripada perkhidmatan mandatori tentera.

Polis Israel menyuraikan penunjuk perasaan Yahudi Ultra-Ortodoks yang menyekat lebuh raya semasa protes terhadap perubahan berkaitan undang-undang mengenai kerahan tentera, di bandar Bnei Brak, Israel tengah. - Foto AFP
Polis Israel menyuraikan penunjuk perasaan Yahudi Ultra-Ortodoks yang menyekat lebuh raya semasa protes terhadap perubahan berkaitan undang-undang mengenai kerahan tentera, di bandar Bnei Brak, Israel tengah. - Foto AFP

Namun, keputusan mahkamah tinggi dibuat susulan gesaan yang semakin meningkat supaya ultra-Ortodoks menyertai tentera, ketika Israel melancarkan perang berterusan terhadap Hamas di Semenanjung Gaza selain kemungkinan pertempuran di Lubnan.

Pada masa sama, mahkamah juga mengarahkan Israel menghentikan pembiayaan untuk Yeshiva jika pelajarnya mengelak daripada menyertai perkhidmatan tentera.

Keputusan mahkamah itu adalah tindak balas kepada beberapa petisyen oleh kumpulan masyarakat sivil yang menggesa perkhidmatan ketenteraan mandatori untuk lelaki ultra-Ortodoks.

Lelaki Israel Yahudi secara amnya dikehendaki menjalankan perkhidmatan ketenteraan namun wanita yang beragama dikecualikan oleh undang-undang.

Komuniti ultra-Ortodoks, yang wakil politiknya adalah sebahagian daripada kerajaan Netanyahu, sudah lama menerima pengecualian dengan membenarkan lelaki belajar di seminari agama untuk memelihara identiti Yahudi negara.

Pengecualian ini, yang gagal dikawal kerajaan dalam perundangan, menjadi punca pergeseran politik yang semakin meningkat selama beberapa dekad. - AFP

Berita Harian X