Isnin, 17 Jun 2024 | 6:17pm
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto AGENSI
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto AGENSI

Netanyahu bubar Kabinet Perang Israel

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membubarkan Kabinet perangnya yang dianggotai enam anggota.

Menurut seorang pegawai Israel, pembubaran itu adalah satu langkah yang dijangkakan selepas kerajaan bekas jeneral berhaluan tengah Benny Gantz meletakkan jawatan.

Netanyahu kini dijangka mengadakan rundingan perang Gaza dengan sekumpulan kecil menteri, termasuk Menteri Pertahanan, Yoav Gallant dan Menteri Hal Ehwal Strategik, Ron Dermer yang pernah berada dalam Kabinet perang.

Perdana Menteri itu menghadapi tuntutan daripada rakan nasionalis-agama dalam gabungannya, Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, untuk dimasukkan ke dalam Kabinet perang, satu langkah yang akan meningkatkan ketegangan dengan rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS).

Forum berkenaan dibentuk selepas Gantz menyertai Netanyahu dalam kerajaan perpaduan negara pada permulaan perang pada Oktober dan juga termasuk rakan kongsi Gantz, Gadi Eisenkot dan Aryeh Deri, ketua parti agama Shas, sebagai pemerhati.

Gantz dan Eisenkot kedua-duanya meninggalkan kerajaan minggu lalu, atas apa yang mereka katakan sebagai kegagalan Netanyahu untuk membentuk strategi perang di Gaza.

Berita Harian X