Selasa, 11 Jun 2024 | 4:31pm
Orang ramai berkumpul di sekeliling empat pendidik Amerika Syarikat (AS) dari Universiti Iowa, yang dilaporkan ditikam di taman awam, menurut media AS dan pegawai kerajaan AS, di Jilin City, wilayah Jilin, China. - Foto REUTERS
Orang ramai berkumpul di sekeliling empat pendidik Amerika Syarikat (AS) dari Universiti Iowa, yang dilaporkan ditikam di taman awam, menurut media AS dan pegawai kerajaan AS, di Jilin City, wilayah Jilin, China. - Foto REUTERS

4 warga AS ditikam di timur laut China, seorang suspek ditahan

BEIJING: Seorang Suspek ditahan kerana menikam empat warga Amerika Syarikat (AS) di China.

Polis China berkata pada Selasa bahawa mereka menahan seorang suspek kerana menikam empat guru kolej AS di sebuah taman awam di timur laut negara itu.

Beijing menyifatkan serangan yang berlaku pada Isnin sebagai kes 'terpencil', manakala Rumah Putih berkata ia 'sangat bimbang' dengan kes tikaman itu.

Empat mangsa terbabit adalah peserta program pertukaran akademik dan bekerja sebagai pengajar di Kolej Cornell Iowa, yang dilaporkan cedera dalam 'serangan yang serius'.

Polis berkata mereka telah menahan seorang lelaki berusia 55 tahun selepas serangan di sebuah taman awam di wilayah Jilin itu.

Media kerajaan China, Xinhua, melaporkan seorang warga China turut cedera ketika 'cuba menghentikan serangan'.

"Suspek, bernama Cui telah ditangkap pada hari yang sama serangan dilakukan," kata polis tempatan.

Beijing pada Selasa mengesahkan bahawa 'empat guru warga asing' telah diserang.

"Semua yang cedera dihantar ke hospital... dan menerima rawatan sewajarnya, tiada seorang pun daripada mereka yang terancam atau kehilangan nyawa mereka. Polis membuat penilaian awal bahawa serangan ini adalah kes terpencil.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan. China secara amnya diiktiraf sebagai antara negara paling selamat di dunia dan China... akan terus mengambil langkah yang perlu untuk melindungi keselamatan semua warga asing di China dengan berkesan.

"Kes terpencil ini tidak menjejaskan perkembangan program pertukaran rakyat China-AS," kata jurucakap Kementerian Luar, Lin Jian, kepada pemberita pada sidang media rutin di kementerian itu.

Ahli Kongres Iowa, Ashley Hinson berkata pada X bahawa beliau 'ngeri' selepas mendapat tahun ahli fakulti Kolej Cornell telah 'ditikam dengan kejam'.

Gabenor Kim Reynolds berkata beliau 'berhubung dengan delegasi Persekutuan Iowa dan Jabatan Negara sebagai tindak balas terhadap serangan yang mengerikan ini'.

"Tolong doakan mereka sembuh sepenuhnya, selamat kembali kepada keluarga mereka di sini, di rumah," tambahnya.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata mereka 'menyedari laporan mengenai kes tikaman di Jilin, Republik Rakyat China'. - AFP

Berita Harian X