Isnin, 10 Jun 2024 | 7:15am
Salah seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang mengalami kekurangan zat makanan dari pinggir bandar timur Shujaiya, Gaza, dibawa ke luar khemah di Zawayda di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Salah seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang mengalami kekurangan zat makanan dari pinggir bandar timur Shujaiya, Gaza, dibawa ke luar khemah di Zawayda di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP

50 kanak-kanak kurang zat makanan, kebuluran di utara Gaza

GAZA: Lima puluh kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan dan kebuluran di utara Gaza, susulan 'pembunuhan beramai-ramai berterusan' tentera Israel terhadap penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, menurut sumber perubatan.

"Kira-kira 50 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan dikira dalam tempoh seminggu sahaja, dan kebuluran terus melanda Gaza.

"Kami sudah melihat tanda-tanda kekurangan zat makanan dalam sesetengah kanak-kanak. Kami cuba menyambung semula perkhidmatan perubatan pada tahap minimum di tengah-tengah kekurangan bahan api dan situasi bencana dalam sektor itu," kata sumber perubatan di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza.

Menurut Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sembilan daripada 10 kanak-kanak di Gaza mengalami kekurangan zat makanan akut.

Pengurangan 50 peratus dalam bantuan memasuki Gaza yang dilanda perang menyebabkan peningkatan mendadak dalam kekurangan zat, kelaparan dan kebuluran. - Foto AGENSI
Pengurangan 50 peratus dalam bantuan memasuki Gaza yang dilanda perang menyebabkan peningkatan mendadak dalam kekurangan zat, kelaparan dan kebuluran. - Foto AGENSI

Krisis kemanusiaan di Gaza, khususnya di utara diburukkan lagi dengan penutupan sempadan Rafah dan Karm Abu Salem, dengan penduduk turut kehabisan baki bekalan makanan mereka di tengah-tengah kekurangan bantuan.

Lebih 37 kanak-kanak meninggal dunia ketika pencerobohan tentera Israel yang berterusan akibat kebuluran di beberapa hospital di Gaza, terutama di Hospital Kamal Adwan, di mana kira-kira 30 kanak-kanak terkorban.

Sistem penjagaan kesihatan di Gaza kekal menjadi sasaran serangan Israel, manakala pasukan perubatan pula berusaha untuk menyambung semula perkhidmatan mereka dan menyediakan penjagaan kesihatan yang minimum kepada penduduk di bahagian utara enklaf itu.

Sebelum ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata 90 peratus kanak-kanak di Gaza tidak mendapat makanan berzat secukupnya untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan sihat mereka.

"Di Semenanjung Gaza, berbulan-bulan permusuhan dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan meruntuhkan sistem makanan serta kesihatan, membawa malapetaka kepada kanak-kanak dan keluarga mereka," kata UNICEF.

Menurutnya, lima set data yang dikumpul antara Disember 2023 dan April 2024 mendapati sembilan daripada 10 kanak-kanak di Semenanjung Gaza makan hanya sekali sehari atau berlapar.

Wilayah yang diserang Israel sejak 7 Oktober lalu itu kini terjerumus dalam kancah kemiskinan, dengan semua penghantaran bantuan kemanusiaan disekat regim Zionis yang mengepung kawasan itu. - AGENSI

Berita Harian X