Ahad, 9 Jun 2024 | 9:31am
Serangan tentera Israel ke atas kem Nuseirat, termasuk premis sekolah sudah meragut ratusan nyawa dan menyebabkan ramai yang cedera. - Foto AFP
Serangan tentera Israel ke atas kem Nuseirat, termasuk premis sekolah sudah meragut ratusan nyawa dan menyebabkan ramai yang cedera. - Foto AFP

Serangan di Nuseirat, Presiden Palestin minta UNSC adakan sidang tergempar

RAMALLAH: Presiden Mahmoud Abbas mengarahkan utusan Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meminta satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), susulan pembunuhan beramai-ramai dilakukan tentera Israel di kem pelarian Nuseirat.

Setakat ini, serangan Israel ke atas kem Nuseirat, termasuk premis sekolah sudah meragut ratusan nyawa dan menyebabkan ramai yang cedera.

Abbas sebelum ini terbabit dalam usaha diplomatik intensif dengan pihak berkepentingam Arab dan antarabangsa untuk mengadakan sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB.

Matlamatnya adalah untuk menangani pencerobohan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin serta memaksa pendudukan Zionis untuk mematuhi resolusi legitimasi antarabangsa, termasuk yang menyeru gencatan senjata segera.

Abbas juga menekankan keperluan mendesak campur tangan antarabangsa untuk menghentikan malapetaka kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, - Foto AGENSI
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, - Foto AGENSI

"Israel terus mengeksploitasi kesunyian antarabangsa dan sokongan Amerika Syarikat (AS) untuk terus melakukan jenayah yang melanggar semua resolusi legitimasi antarabangsa dan undang-undang antarabangsa," katanya.

Serangan Israel ke atas kemudahan PBB menjadi perkara biasa ketika perang Israel ke atas Gaza, yang kini sudah membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin.

AS sejak sekian lama dikritik kerana peranannya dalam menyokong Israel terutamanya bekalan senjata yang berterusan.

Kumpulan hak asasi manusia berulang kali mendakwa Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan Israel kini berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Ketua pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga memohon waran tangkap untuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas tindakan mereka di Gaza.

Pada Mei, laporan kerajaan AS mendapati kemungkinan Israel melanggar undang-undang antarabangsa di Gaza, tetapi tidak dapat mengenal pasti pelanggaran yang akan menamatkan bantuan ketenteraannya yang berterusan. - AGENSI

Berita Harian X