Sabtu, 8 Jun 2024 | 8:24pm
Keadaan sekolah UNRWA selepas serangan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza. Foto AFP
Keadaan sekolah UNRWA selepas serangan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza. Foto AFP

OIC kutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas sekolah UNRWA di Gaza

RAMALLAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Israel susulan serangan ke atas sebuah sekolah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.

Serangan kelmarin itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera, kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan, OIC memaklumkan pihaknya menganggap kejadian itu sebagai lanjutan daripada jenayah pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Semenanjung Gaza.

OIC juga menyatakan insiden itu satu pelanggaran terang-terangan terhadap peruntukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Konvensyen Geneva, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, serta perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Organisasi itu juga mengalu-alukan keputusan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres untuk memasukkan Israel, kuasa pendudukan dalam senarai pelanggar hak kanak-kanak dalam konflik bersenjata atau yang dikenali sebagai "List of Shame."

Ketua badan dunia itu menganggap ia adalah langkah penting untuk menyokong kedaulatan undang-undang antarabangsa dan menamatkan budaya kekebalan terhadap jenayah perang Israel serta memastikan keadilan bagi mangsa, warga Palestin.

OIC menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB mengambil tanggungjawab mereka dan berusaha menghentikan serangan tentera Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

Ia seterusnya menggesa agar langkah-langkah serius diambil untuk memastikan bahawa pelaku jenayah perang dan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dibawa ke muka pengadilan.

Berita Harian X