Jumaat, 7 Jun 2024 | 9:41am
Seorang kanak-kanak Palestin memerhati orang ramai yang memeriksa sekolah PBB di Nuseirat, di tengah Gaza selepas serangan Israel. - Foto AFP
Seorang kanak-kanak Palestin memerhati orang ramai yang memeriksa sekolah PBB di Nuseirat, di tengah Gaza selepas serangan Israel. - Foto AFP

Serangan Israel ke atas sekolah PBB ragut 37 nyawa

GAZA: Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Serangan itu dilakukan selepas pengantara Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir menyambung semula rundingan yang bertujuan mendapatkan gencatan senjata dan pertukaran tebusan dalam perang lapan bulan.

Tentera Israel berkata, ia sudah "menghapuskan" beberapa pejuang dalam "serangan tepat ke atas pekarangan Hamas yang berada di dalam sekolah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di kawasan Nuseirat di tengah Gaza.

Jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata sembilan "pengganas" terbunuh apabila jet pejuang menyerang tiga bilik darjah di mana kira-kira 30 pejuang Jihad Islam dan Hamas bersembunyi.

AS menggesa Israel untuk telus sepenuhnya mengenai serangan itu.

"Kerajaan Israel berkata bahawa mereka akan mengeluarkan lebih banyak maklumat mengenai serangan ini, termasuk nama mereka yang terkorban di dalamnya. Kami menjangkakan mereka telus sepenuhnya dalam membuat maklumat itu kepada umum," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller kepada pemberita.

Ketua PBB Antonio Guterres menyifatkan serangan itu "hanya satu lagi contoh mengerikan mengenai 'harga' yang dibayar orang awam."

"Perlu ada akauntabiliti untuk semua yang berlaku di Gaza," kata jurucakapnya, Stephane Dujarric.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell menggesa serangan itu "disiasat secara bebas."

Israel menuduh Hamas dan sekutunya di Gaza menggunakan sekolah, hospital dan infrastruktur awam lain termasuk kemudahan yang dikendalikan oleh UNRWA, agensi PBB untuk pelarian Palestin, sebagai pusat operasi – tuduhan yang dinafikan pejuang.

Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah, dekat Nuseirat berkata, ia menerima mayat sekurang-kurangnya "37 syuhada" susulan serangan itu.

Faisal Thari, pelarian Gaza yang mencari perlindungan di sekolah itu, memberitahu AFP: "Kenapa? Apa yang telah kita lakukan untuk mereka mengebom kita?"

Hamas dalam satu kenyataan mengecam "jenayah baharu... terhadap rakyat kita."

Seorang doktor berkata, satu lagi serangan pada awal subuh oleh Israel hingga membunuh enam orang di sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat, dan saksi melaporkan tembakan sengit di kem Bureij dan Al-Maghazi di kawasan yang sama.

Pesawat perang Israel juga melakukan serangan di Rafah, menurut sumber.

Israel kini menghadapi pengasingan diplomatik yang semakin meningkat, dengan kes mahkamah antarabangsa mendakwanya melakukan jenayah perang dan beberapa negara Eropah mengiktiraf negara Palestin antaranya Sepanyol.

Perang itu menyebabkan ketegangan serantau memuncak, dengan keganasan yang semakin meningkat membabitkan Israel dan sekutunya di satu pihak, dan kumpulan bersenjata yang disokong Iran di pihak lain.

Berita Harian X