Khamis, 6 Jun 2024 | 11:12pm
Penduduk Palestin meninjau penempatan di sekolah PBB yang rosak akibat serangan Israel di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza - Foto AFP
Penduduk Palestin meninjau penempatan di sekolah PBB yang rosak akibat serangan Israel di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza - Foto AFP

Israel serang sekolah di Gaza tanpa beri amaran - UNRWA

GAZA: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, hari ini berkata Israel mengebom satu daripada sekolah di Gaza tanpa memberikan awal kepada ribuan pelarian yang berlindung di sana.

Tentera berkata, pihaknya membunuh beberapa pejuang Hamas dalam serangan di pekarangan premis yang didakwa diduduki Hamas terletak dalam sekolah UNRWA di kawasan Nuseirat, manakala Hospital Syahid Al-Aqsa di Gaza pula memaklumkan, sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dalam serangan itu.

"Sebuah lagi sekolah UNRWA yang kini menjadi tempat penduduk berlindung diserang.

"Menyerang, menyasarkan atau menggunakan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tujuan ketenteraan bermakna mengabaikan undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara terang-terangan," tulis Lazzarini menerusi platform media sosial X.

Beliau menambah, UNRWA 'berkongsi koordinat semua kemudahannya (termasuk sekolah terbabit) dengan tentera Israel dan pihak lain dalam konflik itu.

"Menyasarkan premis PBB atau menggunakannya untuk tujuan ketenteraan tidak boleh dijadikan norma baharu," katanya.

Beliau turut memberitahu, sekolah itu menjadi tempat 6,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal susulan perang berkenaan yang masih berlarutan.

Sementara itu, kumpulan hak asasi Israel l, B'Tselem menyatakan serangan itu dilakukan susulan premis terbabit disyaki menjadi lokasi jenayah perang.

"Sekiranya ia (benar) seperti yang didakwa Israel iaitu Hamas menggunakan sekolah itu untuk merancang operasi ketenteraan, tindakan ini adalah menyalahi undang-undang, tetapi mereka tidak boleh membenarkan kemudaratan besar-besaran kepada orang awam yang mencari perlindungan di sekolah itu dan berada dalam ketakutan berikutan pertempuran berpanjangan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

"Sebagaimana ditunjukkan sepanjang perang, pembunuhan orang awam adalah akibat yang tidak dapat dielakkan susulan aktiviti ketenteraan Israel Semenanjung Gaza," tambah kumpulan itu yang turut menggesa bantuan masyarakat antarabangsa bagi menghentikan pertempuran. - AFP

Berita Harian X