Khamis, 6 Jun 2024 | 10:01am
Wanita dan kanak-kanak Palestin sekali lagi melarikan diri dari Rafah di selatan Semenanjung Gaza susulan serangan Israel. - Foto AFP
Wanita dan kanak-kanak Palestin sekali lagi melarikan diri dari Rafah di selatan Semenanjung Gaza susulan serangan Israel. - Foto AFP

Sekolah tempat pelarian Palestin berlindung dibom, 27 maut

BUREIJ: Pejabat media Hamas di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 27 pelarian Palestin yang berlindung di sebuah sekolah di Nuseirat, tengah Gaza maut manakala puluhan lagi cedera akibat dibom Israel hari ini.

Tentera Israel, dalam satu kenyataan, mendakwa serangan itu menyasarkan kawasan 'kubu Hamas' yang berada di dalam sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza.

Terdahulu, tentera Israel mengumumkan sasaran operasi kini ditumpukan di kawasan Bureij dan timur Deir al-Balah serta mengisytiharkan kawasan Nuseirat sebagai 'zon selamat'.

Menurut saksi dan pegawai Palestin, pengeboman ke atas Gaza tengah turut membunuh 11 orang berhampiran kem Al-Maghazi dan dua berhampiran Deir al-Balah.

Susulan serangan itu, anggota keluarga bergegas membawa mangsa yang cedera termasuk kanak-kanak ke hospital manakala orang awam sekali lagi mengemas barang-barang mereka di atas trak pikap dan kerusi roda untuk melarikan diri.

Pelarian Palestin melihat jenazah mangsa serangan Israel di kawasan kejiranan Rimal barat, di hospital Al-Ahli di kawasan kejiranan al-Zaitoun, Gaza. - Foto AFP
Pelarian Palestin melihat jenazah mangsa serangan Israel di kawasan kejiranan Rimal barat, di hospital Al-Ahli di kawasan kejiranan al-Zaitoun, Gaza. - Foto AFP

Tentera Israel terus menggempur Gaza tengah dengan serangan udara bertubi-tubi semalam ketika rundingan antarabangsa terbaharu untuk mendapatkan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan dianggap gagal.

Ini berikutan kenyataan pemimpin Hamas, Ismael Haniyeh, semalam menegaskan kumpulan itu menuntut penamatan kekal kepada perang di Gaza dan pengunduran Israel sebagai sebahagian daripada rancangan gencatan senjata.

Sementara itu, Israel berkata ia tidak akan menghentikan serangan semasa rundingan gencatan senjata, malah melancarkan serangan baru di tengah Gaza berhampiran bandar terakhir yang belum diserang oleh kereta kebalnya.

Badan amal, Medicines Sans Frontiers (MSF) memaklumkan sekurang-kurangnya 70 maut dan lebih 300 cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak ditempatkan di hospital Al-Aqsa sejak Selasa, selepas 'serangan besar-besaran Israel' di tengah Gaza.

Penasihat perubatan MSF di Gaza, Karin Huster, menyifatkan keadaan hospital itu sebagai 'menggalas beban jauh melebihi kemampuan sebenar'.

"Di mana-mana saja, baik di dalam atau di luar, kelihatan orang berbaring di atas lantai... mayat dibawa dalam beg plastik," katanya menerusi platform media sosial X.

Dalam perkembangan lain, ketegangan memuncak di timur Baitulmaqdis timur yang diilhakkan, dengan beribu-ribu polis mengawal 'Perarakan Bendera' tahunan Israel.

Polis Israel mengerahkan 3,000 pegawai di Baitulmaqdis menjelang perarakan tahunan oleh pihak sayap kanan memperingati penawanan Israel di Kota Lama dalam perang Arab-Israel yang tercetus pada 1967. - AGENSI

Berita Harian X