Rabu, 5 Jun 2024 | 11:18am
Seorang lelaki membawa kanak-kanak Palestin, yang cedera dalam serangan Israel, di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang lelaki membawa kanak-kanak Palestin, yang cedera dalam serangan Israel, di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Penduduk di Gaza minum air kumbahan, makan makanan haiwan, rumput

GENEVA: Krisis kemanusiaan di Gaza memaksa segelintir penduduknya meminum air kumbahan dan makan makanan haiwan serta rumput untuk hidup, dedah pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarah Wilayah Mediterranean Timur WHO, Hana Balkhy, memberi amaran perang antara Israel-Palestin mempunyai kesan buruk terhadap penjagaan kesihatan di seluruh wilayah itu dengan lebih meluas.

Beliau juga merayu akses bantuan segera ke wilayah yang dikepung itu ditingkatkan bagi menangani kesan ke atas kanak-kanak, yang berisiko meninggalkan kesan berpanjangan lagi teruk.

"Di Gaza, ada orang kini makan makanan haiwan, makan rumput dan mereka terpaksa minum air kumbahan kerana tiada sumber lain.

"Kanak-kanak hampir tak boleh makan, sedangkan trak-trak sarat berisi bantuan masih menunggu di luar Rafah," kata pakar kesihatan kanak-kanak itu ketika ditemubual di ibu pejabat WHO di Geneva.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah lama memberi amaran kebuluran sedang melanda Gaza, dengan 1.1 juta orang atau kira-kria separuh daripada penduduk di wilayah itu mengalami krisis bekalan makanan.

Orang ramai membersihkan sisa runtuhan berikutan serangan peluru berpandu Russia ke atas Hospital Kanak-kanak Ohmatdyt di Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS
Orang ramai membersihkan sisa runtuhan berikutan serangan peluru berpandu Russia ke atas Hospital Kanak-kanak Ohmatdyt di Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB semalam, kekangan akses terus menjejaskan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan selamat bagi menyelamatkan nyawa di seluruh Gaza.

Katanya, keadaan bertambah buruk secara mendadak dan ketara sejak Mei lalu apabila sekatan semakin diperketatkan tentera Israel.

Proses mengagihkan bantuan terhalang kerana peperangan dan pengeboman serta permukaan jalan raya dipenuhi serpihan sisa peperangan.

Balkhy, yang baru saja berkhidmat pada Februari lalu berkata, Gaza terdesak dan memerlukan keamanan serta peningkatkan askes bantuan melalui jalan darat.

Selepas lawatan baru-baru ini ke persimpangan Rafah dari Mesir ke selatan Semenanjng Gaza, iaitu saluran penting bantuan yang ditutup oleh tentera Israel awal bulan lalu, beliau menggesa rejim Zionis untuk membuka semula sempadan itu.

Tegas beliau, laluan Kerem Shalom tidak memadai dan usaha dilakukan melalui koridor maritim dan udara tidak masuk akal kerana trak boleh saja menggunakan laluan darat yang jauh lebih murah serta berkesan untuk menghantar bantuan.

Penduduk Palestin berkumpul di tapak serangan Israel ke atas sebuah rumah, di Deir Al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin berkumpul di tapak serangan Israel ke atas sebuah rumah, di Deir Al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Beliau juga kecewa dengan sekatan peralatan perubatan, yang Israel dakwa boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan termasuk barangan seperti ventilator dan bahan kimia penulenan untuk air bersih.

Pada masa sama, Balkhy menekankan keperluan mendesak pesakit di Gaza yang mana setakat kini, seramai 11,000 pesakit berada dalam keadaan kritikal dan cedera parah serta memerlukan akses perubatan.

"Pesakit yang keluar menunjukkan beberapa trauma yang sangat rumit, patah tulang yang berisiko dijangkiti, kesan terhadap pelbagai ubat dan kecacatan dialami kanak-kanak

"Untuk memulihkan orang seperti ini dan merawat mereka ,anda memerlukan sistem penjagaan kesihatan yang sangat kompleks," katanya.

Balkhy yang juga pakar pediatrik penyakti berjangkit berkata, kesan jangka pendek dan panjang konflik di Gaza ternyata membawa kesan buruk terhadap langkah asas kesihatan awam seperti keperluan air bersih, makanan sihat dan imunisasi rutin.

Jelasnya, ia menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada campak, cacar air, cirit-birit dan penyakit pernafasan.

"Ia akan memberi kesan besar kepada kesihatan mental. Ia akan menyebabkan sindrom tekanan selepas trauma yang besar," tegasnya. - AFP

Berita Harian X