Selasa, 4 Jun 2024 | 8:13am
Kepulan asap dan api menjulang semasa serangan udara terbaharu Israel di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Kepulan asap dan api menjulang semasa serangan udara terbaharu Israel di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Israel sahkan lebih ramai tebusan diculik Hamas terkorban

RAFAH: Israel mengumumkan kematian empat tebusan yang diculik Hamas di Gaza ketika tekanan antarabangsa meningkat terhadap pelan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan disyorkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Jumaat lalu, Biden membentangkan rancangan tiga fasa Israel yang akan menamatkan konflik berdarah, membebaskan semua tebusan dan pembinaan semula wilayah Palestin yang musnah, tanpa Hamas.

Bagaimanapun, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan perang akan berterusan sehingga semua matlamat Israel tercapai, termasuk pemusnahan tentera dan keupayaan pemerintahan Hamas.

Semalam, Rumah Putih berkata Biden memberitahu bahawa beliau melihat Hamas sebagai satu-satunya penghalang kepada gencatan senjata penuh di Gaza, dan menggesa Emir Qatar supaya menekan kumpulan itu untuk menerimanya.

Kumpulan Tujuh (G7), dalam satu kenyataan berkata, pemimpinnya menyokong penuh perjanjian yang didorong oleh Biden, dan menggesa Hamas untuk menerimanya.

Tentera Israel mengumumkan kematian empat tebusan iaitu Chaim Perry, Yoram Metzger, Amiram Cooper dan Nadav Popplewell.

Menteri Luar Britain, David Cameron, berkata beliau sedih mendengar berita mengenai kematian Popplewell, rakyat Israel-Britain.

"Kami mengulangi tuntutan supaya Hamas menghantar semua tebusan pulang," katanya.

Disember lalu, kesemua tahanan kecuali Popplewell dilihat dalam video yang dikeluarkan oleh Hamas.

Secara berasingan, jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, pihaknya mendapati bahawa empat daripada mereka terbunuh semasa bersama di kawasan Khan Younis semasa operasi Israel menentang Hamas di sana.

Seorang kanak-kanak Palestin menarik bekas air di selatan Kota Gaza, di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang kanak-kanak Palestin menarik bekas air di selatan Kota Gaza, di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Semalam, Menteri luar Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Jordan dan Mesir mengeluarkan kenyataan menyokong usaha diplomatik terbaharu itu.

Mereka menekankan kepentingan menangani secara serius dan positif cadangan presiden AS yang boleh menghasilkan gencatan senjata kekal dan menamatkan penderitaan penduduk Semenanjung Gaza, kata kenyataan bersama itu.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, semalam berkata Rumah Putih telah 'melihat sekali lagi kesediaan israel pada hujung minggu, untuk melangkah ke hadapan dan melakukan perjanjian itu'.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, berkata cadangan itu 'hampir sama' dengan yang dikemukakan beberapa minggu lalu oleh Hamas dan menggesa ketuanya, Yahya Sinwar, supaya jangan lagi mengubah syarat selepas persetujuan dicapai.

Pertempuran Israel-Palestin tidak menunjukkan sebarang petanda akan reda, dengan perang memusnahkan wilayah diduduki 2.4 juta orang dan memasuki bulan kesembilan.

Tentera Israel berkata pihak menyerang 'lebih 50 sasaran' dan hospital Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 19 maut dalam serangan semalaman.

Pertempuran hebat berlaku terutamanya di kawasan Rafah di selatan Gaza berhampiran sempadan Mesir, di mana agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu kebanyakan orang awam kini, sekali lagi kehilangan tempat tinggal.

Tentera Israel berkata pihaknya sedang menjalankan 'operasi yang disasarkan di kawasan Rafah' dan saksi melaporkan serangan udara serta tembakan.

Hospital Eropah Gaza berkata 10 orang terbunuh dalam serangan udara di sebuah rumah berhampiran bandar utama selatan Khan Younis, dan hospital Al-Aqsa Martyrs melaporkan enam maut dalam serangan ke atas sebuah rumah di pusat kem pelarian Bureij. - AFP

Berita Harian X