Isnin, 3 Jun 2024 | 12:22pm

China dakwa MI6 rekrut kakitangan agensi pusat jadi pengintip UK

BEIJING: China hari ini mendakwa Perkhidmatan Perisikan Rahsia Britain (MI6) merekrut pasangan yang bekerja untuk kerajaan pusat sebagai pengintip United Kingdom (UK).

Kementerian Keselamatan Negara dalam catatan di WeChat rasminya berkata, operasi MI6 itu berjaya meyakinkan seorang lelaki bernama Wang, yang bekerja dengan agensi pusat China supaya berpaling tadah bersama isterinya, Zhou.

"Baru-baru ini, selepas penyiasatan teliti, agensi keselamatan negara menemui satu kes pengintipan di mana MI6 dikesan menghasut pasangan, Wang dan Zhou, yang juga kakitangan sebuah agensi negara pusat China, untuk berpaling tadah," katanya.

Kementerian itu berkata, perisikan Britain mula mendekati Wang selepas dia memulakan pengajiannya di UK pada 2015, selain mengatur makan malam dan lawatan untuknya bagi memahami kelemahan karakter, minat serta permintaannya.

Katanya, selepas mengetahui Wang mempunyai keinginan yang kuat untuk mendapatkan wang, mereka mendekatinya untuk menyediakan perkhidmatan perundingan bergaji tinggi yang melibatkan tugas dalam agensi negeri pusat.

Kakitangan MI6 kemudiannya mendedahkan identiti mereka kepada Wang dan mengarahkannya kembali ke China untuk mengumpul maklumat risikan, meyakinkannya untuk memaksa Zhou melakukan perkara sama.

Kementerian itu berkata pihaknya sudah mengumpul bukti dan mengambil langkah tegas terhadap Wang, sambil menambah kes itu sedang dalam siasatan lanjut.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai pekerjaan semasa Wang atau Zhou di China, jenis maklumat yang mereka berikan serta lokasinya.

China dan Barat berulang kali menuduh wujudnya kegiatan pengintipan, namun baru-baru ini mereka mula mendedahkan butiran kes individu yang didakwa.

Bulan lalu, Polis Britain berkata Matthew Trickett, yang didakwa membantu perkhidmatan perisikan Hong Kong dalam kes pengintipan berkaitan China untuk mengumpulkan risikan di UK, ditemui mati dalam keadaan yang tidak dapat dijelaskan.

Sementara pada April, pihak berkuasa Jerman menahan empat orang kerana disyaki pengintip China dan pada minggu sama, polis Britain mendakwa dua lelaki menyalurkan maklumat sensitif kepada Beijing antara 2021 dan tahun lalu.

Berita Harian X